
Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal bagaimanapun berkata, setakat ini beliau belum menerima sebarang laporan daripada jabatan agama negeri berhubung perkara itu.
“Saya akan dapatkan laporan dari pihak agama, sekiranya itu cukup jelas, kita tidak teragak-agak untuk menghalang (Zakir).
“Jika itu terbukti, kita akan mengambil tindakan sewajarnya. Ini bidang kuasa kerajaan negeri, tetapi belum sampai ke pengetahuan saya,” katanya selepas majlis penyerahan borang keahlian Warisan di Kampung Biau, malam tadi.
Terdahulu, Sarawak dilaporkan masih menyekat Naik ke negeri itu kerana kenyataannya yang didakwa berunsur hasutan yang boleh menjejaskan keharmonian etnik dan agama.
Naik mencetuskan kontroversi dalam satu siri ceramah di Kelantan minggu lalu dengan mendakwa penganut Hindu di Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi berbanding Dr Mahathir Mohamad.
Naik yang memiliki status penduduk tetap Malaysia dan dikehendaki India atas dakwaan pengubahan wang, turut dilaporkan menggelar orang Cina di negara ini sebagai “tetamu” sebagai respons terhadap desakan untuk pengusirannya dari negara ini.