
Jika Waze membawa anda ke kafe Jibril, namun tidak menemui papan tanda seperti kedai lain, jangan panik!
Ikut sahaja arahan Waze tersebut, turun dari kenderaan anda dan pergi sahaja di hadapan lokasi yang dinyatakan.
Berjumpa dengan peniaga Sangkaya dan tanya kepadanya dimana kafe Jibril.
Kemudian anda akan dibawa ke pintu yang direka khas menggunakan batu-bata tersembunyi dan disinilah anda akan memasuki ruang misteri dan lari sebentar dari dunia sebenar!

Inilah dia, Kafe Jibril, membawa anda ke zaman 80-an, dengan tayangan filem Charlie Chaplin, menepati konsep “speak easy” yang banyak diketengahkan di negara-negara Barat hasil cetusan idea 4 bekas pelajar undang-undang UiTM dan kini masing-masing bergelar peguam.
Mampu memuatkan 90 orang dalam satu masa, kafe Jibril ini mempunyai 2 tingkat termasuk 2 bilik VIP di ruangan atas.

Berkonsepkan bar halal, anda akan dihidangkan sama ada menu barat ataupun menu tempatan mengikut citarasa anda.
Namun sudah pasti setiap kafe mempunyai menu “signature” sendiri dan di Kafe Jibril ialah “Salted Egg Butter Chicken” serendah RM15.90 bagi 1 set.

Sebaik sahaja ia masuk ke mulut dapat dirasai kelembutan ayam yang dimasak enak bersama dengan butter dan terasa manis-manis masin dalam setiap kunyahan.
Tidak dinafikanlah ia digelar menu “signature” bagi kafe Jibril.
Untuk set ini, anda boleh mendapatkannya dalam bentuk set bagi seorang makan, 2 orang, atau 4 orang makan, dengan pilihan minuman berserta aiskrim.

Juga, jangan anda lepaskan peluang merasai kenikmatan nasi goreng nenas yang dihidangkan dalam belahan nenas yang dijadikan “pinggan” untuk hidangan nasi tersebut.
Kesempurnaan pelbagai rasa yang ada dalam nasi goreng nenas dengan pedas ala-ala manja itu membuatkan anda puas, walaupun untuk mereka yang tidak menggemari nenas di dalam masakan, anda akan menyesal jika tidak merasainya!

Bagi mereka yang mencari hidangan ayam, anda boleh merasai keunikan sambal untuk hidangan “coconut butter chicken” yang mempunyai resepi tersendiri.
Cukup segala rasa, pedas, manis, masin di dalam setiap kunyahan bersama nasi dan ayam di dalam mulut anda!

Selepas hidangan tempatan beralih pula ke menu barat “Premium Australian Beef Ribs” dengan kelembutan daging yang diperap khas, ia membuatkan anda puas dengan nilai yang dikeluarkan sebanyak RM49 bagi 1 hidangan.

Selepas makanan “signature” sekarang anda perlu mencuba minuman “signature” di kafe Jibril pula iaitu “potter” atau lebih dikenali sebagai “Non alcoholic butter beer”, rasanya yang klasik, root bear dengan sedikit aiskrim soda menjadikan anda lebih relaks dengan ketulan ais bulat yang dibuat khas untuk minuman ini.

Untuk hidangan menu barat, anda juga boleh padankan dengan minuman “non alcoholic” yang juga menjadi “signature” di Jibril iaitu Mockarita, air di dalam gelas berkaki panjang, berwarna oren serta disaluti garam di keliling gelas tersebut dengan hirisan kepingan limau nipis.
Apabila anda meminumnya, ia cukup sempurna dengan rasa manis di dalam oren, masin serta masam limau nipis di dalam minuman anda, membuatkan anda hanya akan melayan perasaan dengan iringan muzik 80-an serta kegelapan yang unik di dalam kafe ini.
Ingin pula rasai sesuatu yang lebih segar? Anda boleh mencuba Nojito, salah 1 minuman “mocktail” yang halal, dengan gabungan rasa hirisan limau nipis, aiskrim soda, gula merah serta daun pudina yang membuatkan anda lebih segar!
Semua hidangan ini ternyata sungguh menyelerakan dan sudah pasti anda tidak akan dapat menu yang sama di restoran atau kafe lain.
Jom rasai dunia kafe Jibril setiap hari bermula 12 tengahari sehingga 12 malam.

Dengan tenaga pekerja seramai 22 orang dikendalikan pengurusnya Mohd Izwan Suib, ia memerlukan anda membuat tempahan lebih awal bagi hari Isnin sehingga Khamis.
Sementara Jumaat sehingga Ahad pula, anda boleh terus datang ke kafe tanpa membuat sebarang temujanji.

Berita baik bagi pembaca FMT OhSem, kafe Jibril menawarkan 2 baucar bernilai RM50 untuk 2 pemenang bertuah.
Anda hanya perlu layari laman sosial Facebook FMT Ohsem atau di laman sosial Instagram dan jawab soalan disediakan.
1. Apakah konsep yang diketengahkan di kafe Jibril?
2. Apa hidangan yang menjadi “signature” dan berapa harga bagi hidangan tersebut?
3. Jibril mempunyai tarikan tersendiri kerana…
Jibril SS15
25, Jalan SS 15/4B
SS 15, 47500 Subang Jaya
Selangor
Tel: 010-245 8056
Waktu operasi: 12.00pm hingga 12.00am
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]