Adakah DBP terima sastera Melayu selain Islam, soal novelis

Adakah DBP terima sastera Melayu selain Islam, soal novelis

Faisal Tehrani berkata DBP menulikan telinga daripada kritikan bahawa produk sastera Melayu badan kerajaan itu 'dirampas' golongan agamawan.

Novelis Faisal Tehrani.
PETALING JAYA:
Seorang novelis mendakwa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak mendengar pandangan dan kritikan pihak lain selepas pengarah badan kerajaan itu berkata tiada masalah jika produk sastera Melayu “dirampas” golongan agamawan selagi produk budaya kebangsaan itu tidak menyakiti hati mana-mana pihak.

“DBP menulikan telinga daripada kritikan-kritikan dan selagi ia pekak, tidak akan pernah berubah,” kata Faizal Musa atau lebih dikenali Faisal Tehrani.

Faisal sebelum ini mendakwa usaha mengangkat sastera Melayu sebagai sastera kebangsaan gagal apabila budaya kebangsaan “dirampas” golongan Islamis, menjadikan budaya kebangsaan seperti mana diilhamkan pada 1971 kini tidak lagi berada di atas landasan asal.

Bagaimanapun dalam temubual baru-baru ini, Faisal berkata pengaruh golongan agamawan yang semakin meningkat turut terkena pada identiti budaya dan produk seni Melayu.

Jelas Faisal, punca utama kepada permasalahan tersebut apabila sastera Islam sinonim dengan sastera kebangsaan.

“Ini kerana Islam dilekatkan dengan kata Melayu. Jadi sastera Melayu itu menjadi Islam. Melekat,” katanya.

Faisal turut mempersoalkan sama ada DBP terbuka untuk menerima mana-mana individu atau pengarang yang menulis sastera bahasa kebangsaan dengan teras agama Islam.

“Sejauh mana keterbukaan kita, kalau pengarang dari Sarawak dan Sabah yang beragama Kristian menggunakan sastera Melayu untuk membuat elemen-elemen Kristian? (jika rujuk DBP) Sepatutnya sikap ini diterima.

“Tapi, tentu orang akan sangka dan katakan ini adalah gerakan Kristianisasi. Nampak tidak? Ini adalah satu dakyah agama selain daripada agama rasmi.”

Katanya lagi, jika keadaan itu berlaku, adakah DBP benar-benar bersedia meraikan fenomena “bertentangan” itu.

Hasil tinjauan FMT sebelum ini mendapati sehingga Julai, hanya 2 judul sastera Melayu diterbitkan oleh DBP. Manakala judul yang paling banyak diterbitkan daripada kategori agama ialah 18, sejarah (15) dan kesihatan (10).

Bilangan judul paling sedikit pula ialah sastera (2), motivasi (2) dan kejuruteraan (1).

Bagaimanapun, Abang Sallehudin menafikan angka tersebut mengatakan sebanyak 23 judul sastera diterbitkan termasuk naskah kategori remaja dan kanak-kanak.

Bagaimanapun, Faisal berkata kategori remaja dan kanak-kanak bukan dari kategori sastera.

“Kalau 18 buku agama dan 2 buku sastera, tapi anda kata anda bukan terbit buku agama, macam mana?

“Jangan haraplah orang bukan Melayu beli buku Melayu (dari) DBP. Sebab itu mereka cari penerbit buku lain macam Fixie contohnya,” kata Faisal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.