Polis buka hotline khas untuk orang ramai salur maklumat remaja Ireland hilang

Polis buka hotline khas untuk orang ramai salur maklumat remaja Ireland hilang

Polis berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Nora Anne Quoirin boleh menghubungi 0111-2285058 yang dikendalikan bilik gerakan operasi SAR di Balai Polis Pantai.

Wakil kumpulan pendaki sukarelawan, Kenny Chan (tengah) bersama rakan lain semalam menyertai misi mencari dan menyelamat Nora Anne Quoirin yang dilaporkan hilang sejak 4 Ogos lalu. (Gambar Bernama)
NILAI:
Polis semalam membuka talian hotline khas bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan remaja Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang hilang dari sebuah resort di Pantai, Seremban pada 4 Ogos lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Mohamad Mat Yusop berkata talian itu dikendalikan bilik gerakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Balai Polis Pantai dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi 0111-2285058.

Mengenai perkembangan operasi SAR, beliau berkata, pihaknya sudah memeriksa kira-kira 30 rumah di sekitar resort terbabit dalam sebahagian operasi mereka.

Katanya, sebelum ini polis tidak pernah menerima kes orang hilang di mana-mana resort di kawasan itu dan kes Nora ialah kes pertama sejak resort itu beroperasi.

“Sepanjang 10 tahun, kawasan ini tidak pernah ada masalah orang hilang yang dilaporkan, tetapi orang sesat ada di Gunung Berembun,” katanya pada sidang media di Balai Polis Pantai semalam.

Operasi bagi mengesan Nora yang memasuki hari ke-8 semalam membabitkan 296 anggota.

Terdahulu, Mohamad berkata, polis tidak pernah mengeluarkan arahan kepada mana-mana pengusaha resort di Pantai untuk menghentikan sementara aktiviti rekreasi luar seperti mendaki Gunung Berembun.

“Malah, kita galak orang pergi ke bukit (gunung) Berembun, kalau mereka pergi…mereka terjumpa (petunjuk kehilangan mangsa), ia membantu (operasi).”

Beliau ditanya dakwaan jurucakap beberapa resort di kawasan itu yang mendakwa menerima arahan pihak berkuasa supaya menghentikan sementara aktiviti rekreasi seperti mendaki gunung dan “jungle trekking” buat pelancong.

Mengenai operasi SAR, Mohamad berkata, selain skala pencarian yang ditumpukan di 4km radius dari lokasi kejadian, polis juga bercadang pergi ke kawasan gunung itu.

Pemerhatian Bernama mendapati pergerakan keluar masuk kenderaan yang membawa pelancong ke resort berhampiran tidak putus-putus sejak Isnin minggu lalu. Mereka turut singgah di khemah petugas untuk menemui anggota keselamatan dan media bagi menzahirkan simpati kepada keluarga mangsa.

Nora yang mengalami masalah pembelajaran itu tiba bersama keluarganya di Malaysia pada 3 Ogos lalu untuk percutian 2 minggu di sebuah resort di Pantai.

Remaja itu disedari hilang dari bilik penginapannya oleh keluarganya pada 8 pagi keesokannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.