PKR ikut perlembagaan berhubung tukar agama sebelah pihak

PKR ikut perlembagaan berhubung tukar agama sebelah pihak

Zuraida Kamaruddin berkata pendirian PKR sama dengan Perlembagaan Persekutuan cuma hanya tafsiran sahaja yang berbeza di Selangor.

Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin.
KUALA LUMPUR:
PKR akan ikut ketetapan yang sudah dibuat Perlembagaan Persekutuan dalam isu penukaran agama anak secara sebelah pihak, kata Naib Presidennya Zuraida Kamaruddin.

Zuraida berkata, disebabkan itu Menteri Besar Selangor Amirudin Shari perlu memberi penjelasan dan penerangan kepada rakyat dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) dalam isu berkenaan.

“Pendirian kita sama dengan Perlembagaan Persekutuan. Cumanya di Selangor, hanya tafsiran sahaja yang berbeza. Namun saya yakin ia boleh diperkemaskan.

“Amirudin pada masa sama harus beri penjelasan dan penerangan lagi. Kenapa dia hendak buat macam itu dan sebagainya. Saya percaya ada sebab tertentu. Di pihak persekutuan, kita akan cuba bantu,” katanya kepada FMT, hari ini.

Pada Januari tahun lalu, Mahkamah Persekutuan sebelum ini membatalkan tindakan bekas suami kepada M Indira Ghandi, Mohd Ridhuan Abdullah yang menukar agama 3 anak mereka, Tevi Darsiny, Karan Dinish dan Prasana Diksa.

Panel 5 hakim Presiden Mahkamah Rayuan Zulkefli Ahmad Makinudin memutuskan, penukaran agama mereka perlu mendapat keizinan kedua-dua ibu bapa kanak-kanak tersebut sebelum sijil perakuan memeluk Islam dikeluarkan oleh Pendaftar Mualaf.

Terdahulu, DAP Selangor menegaskan tidak akan menyokong sebarang rang undang-undang di Dewan Negeri Selangor yang membenarkan penukaran agama anak secara sebelah pihak oleh ibu atau bapa.

Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo menegaskan sebarang cubaan memperkenalkan undang-undang sebegitu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menegaskan, usul berkenaan mungkin akan dibawa pada sesi sidang Dewan Negeri Selangor akan datang jika ada kepentingan.

Amirudin berkata, usul ini masih lagi dibincangkan di peringkat negeri dan memerlukan perbincangan dari pelbagai pihak termasuk dari rakan-rakan komponen dalam PH.

Zuraida juga berkata, Adun Kajang Hee Loy Sian, yang menjadi satu-satunya wakil parti sewaktu mengadap Sultan Selangor sebelum ini tidak perlu untuk memberi penjelasan kepada PKR.

“Dia tidak perlu dapatkan ‘concern’ parti sebab dia sebagai exco kerajaan negeri. Apabila Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan dia untuk mengadap, dia kena mengadap.

“Namun saya sendiri hingga ke hari ini masih tidak pasti pertemuan itu berkaitan apa. Saya sendiri terlupa hendak bertanya kepadanya apabila bertemu beliau sebelum ini,” katanya.

Semalam, Adun Kota Kemuning V Ganabatirau berkata, akan mempertahankan prinsipnya dalam isu usul rang undang-undang penukaran agama anak secara sebelah pihak oleh ibu atau bapa.

Ganabatirau berkata, beliau sanggup mengakhiri karier politiknya, demi mempertahankan pegangannya iaitu agama yang teragung harus mempunyai sifat kemanusian seperti adil dan penuh kasih sayang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.