
Amalan menyembelih binatang korban berfungsi sebagai simbolik memperingati pengorbanan yang dibuat oleh Nabi Ismail.
Menurut tradisi Islam, Nabi Ibrahim bermimpi menyembelih anaknya Ismail dan mengambil mimpi itu sebagai perintah daripada Tuhan. Ismail pula dengan senang hati menawarkan dirinya sebagai korban untuk memenuhi mimpi bapanya.
Tuhan kemudiannya “mengutuskan” seekor anak kambing untuk dikorbankan sebagai ganti, sekali gus menyelamatkan nyawa Ismail.
Ritual penyembelihan semasa Aidiladha, juga dikenali sebagai Hari Raya Haji atau Korban amat popular dalam kalangan umat Islam Malaysia.
Pada hari perayaan tersebut, rata-rata masjid biasanya menganjurkan perhimpunan untuk menjemput orang Islam yang berdekatan mengambil bahagian dalam penyembelihan lembu, kambing dan biri-biri.
Bagaimanapun, terdapat sesetengah pihak yang mengkritik ritual penyembelihan haiwan secara terbuka itu sebagai tidak menggambarkan etika Islam dengan mengatakan banyak negara Islam lain hanya membenarkan penyembelihan dilakukan di pusat penyembelihan atau “slaughterhouse”.

Aktivis Dr Ahmad Farouk Musa berkata, terdapat keperluan untuk mengubah apa yang dilihatnya sebagai “salah tafsiran” mengenai ritual penyembelihan dalam Islam di negara ini.
Katanya, ramai umat Islam di Malaysia merasakan bahawa penyembelihan haiwan adalah teras perayaan Aidiladha dan akhirnya membawa kepada tontonan awam terhadap perbuatan penyembelihan itu.
“Seolah-olah terdapat kesilapan di negara ini bahawa keseluruhan tumpuan Aidiladha adalah menyembelih seekor kambing atau lembu,” kata Farouk, yang mengetuai Front Renaissance Islam ketika dihubungi FMT.
Beliau berkata, menyebut ungkapan Islam semasa menyembelih haiwan korban tidak membuatkan daging tersebut halal, sebaliknya ia melibatkan keseluruhan proses yang terikat dengan etika mengendalikan haiwan tersebut.
“Sekadar menyebutkan nama Tuhan semasa penyembelihan tidak membuatkan daging itu halal. Cara haiwan itu disembelih adalah paling utama.
“Sesetengah ulama mengatakan bahawa jika haiwan mengalami kekejaman dalam pembiakan, pengangkutan, penyembelihan, atau kebajikan umum mereka, dagingnya dianggap tidak sah (haram) untuk dimakan,” kata Farouk.
Beliau berkata, terdapat juga situasi apabila haiwan yang disembelih melihat acara tersebut di hadapan haiwan lain, yang menurutnya merupakan sesuatu yang sangat dilarang oleh Nabi Muhammad.
“Islam juga mengajar kita supaya bersikap belas kasihan terhadap haiwan yang disembelih. Tetapi saya tidak melihat ini di negara ini khususnya, apabila haiwan itu dilayan dengan kejam, diseret ke padang dan disembelih di tempat terbuka.”
Farouk, yang merupakan pensyarah bidang perubatan di Universiti Monash dan pakar dalam pembedahan kardiarkologi, mengesyorkan supaya haiwan yang hendak disembelih dipengsankan terlebih dahulu.
Jelasnya, dengan menjadikan haiwan korban itu berada dalam keadaan pengsan akan mengurangkan rasa sakit yang dialami semasa proses penyembelihan.
Tambahnya, terdapat satu lagi perbuatan yang tidak beretika dalam kalangan sesetengah orang Islam, terutamanya pada era media sosial masa kini.
Katanya, ramai pihak yang akan memaparkan gambar haiwan yang disembelih, atau semasa penyembelihan dibuat di media sosial.
Farouk berkata, perbuatan itu bukan sahaja tidak menghormati haiwan, tetapi juga mereka yang tidak memakan daging, atau yang menganggap haiwan sebagai suci, seperti orang Hindu yang dilarang memakan daging lembu.
“Perbuatan berkongsi foto haiwan, terutamanya yang disembelih pada dasarnya menggambarkan kurangnya sensitiviti dalam kalangan umat Islam.”
Sementara itu, Mufti Pulau Pinang Wan Salim Mohd Noor dilihat tidak bersetuju dengan pandangan Farouk.
Beliau berkata, tidak ada larangan khusus terhadap upacara penyembelihan yang dilakukan secara terbuka yang disaksikan oleh banyak pihak.
Bagaimanapun katanya, dalah tidak beretika jika upacara penyembelihan itu disambut seperti satu festival dan orang ramai menunjukkan kegembiraan ketika melihat haiwan disembelih.
Farouk menggesa peralihan pemikiran umat Islam dalam konteks upacara penyembelihan haiwan semasa perayaan Aidiladha.
Beliau berkata, golongan miskin mempunyai keperluan yang lebih mendesak berbanding pengagihan daging mentah.
Farouk berkata, pandangan ini semakin diterima pakai oleh cendekiawan Islam yang tidak senang dengan isu melibatkan pembaziran dan etika dalam pengurusan ritual penyembelihan hiwan korban.
Antara pemikir Islam tersebut, kata Farouk, adalah Khaled Abou Fadl, seorang pemikir kontemporari terkemuka dalam undang-undang Islam dan seorang ulama terkemuka mengenai hak asasi manusia.
“Dia berkata wang boleh disalurkan terus kepada orang yang memerlukan supaya mereka dapat membeli makanan dengan cara yang dianggap paling sesuai untuk diri mereka sendiri,” katanya.