
Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan seorang menteri yang berkata golongan Syiah tidak diiktiraf.
“Pada saat kita merayakan fajar baru di Malaysia, beliau masih mengulangi kata-kata kebencian rejim lama,” kata Farouk yang mengetuai pertubuhan Islamic Renaissance Front (IRF) kepada FMT.
“Nampaknya tidak ada apa-apa perubahan dalam kerajaan baru ini dalam isu berkaitan Islam.”
Beliau berkata, masjid di Selangor masih lagi meneruskan sentimen anti-Syiah dalam khutbah Jumaat.
“Ia masih dipenuhi kata-kata kebencian. Kebencian terhadap Syiah. Kebencian terhadap golongan liberal. Bilakah ini akan berakhir?,” soalnya.
Komuniti Syiah di Malaysia mendapat perhatian daripada pihak berkuasa Islam baru-baru ini berikutan acara sambutan Asyura dalam kalangan pengikutnya.
Asyura merupakan acara memperingati ulang tahun kematian Imam Hussein, cucuanda Nabi Muhammad, dan merupakan tokoh utama dalam pemikiran Syiah.
Dilaporkan pihak berkuasa Islam di Selangor dan Kuala Lumpur meningkatkan pengawasan ke atas acara Asyura dalam kalangan pengikut Syiah dengan menyebarkan risalah mengutuk “amalan sesat”.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusuf sebelum ini berkata, fatwa 1996 yang menetapkan ajaran Syiah “sebagai sesat” masih berkuatkuasa dan beliau akan menyerahkan isu itu kepada pihak berkuasa Islam untuk menentukan tindakan yang perlu diambil terhadap pengikut ajaran tersebut.
Bekas timbalan menteri berkenaan hal-ehwal Islam, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendesak tindakan tegas diambil terhadap pengikut Syiah selepas satu kumpulan pengikut ajaran itu mengedar donat percuma kepada orang awam di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, selain menaikan sepanduk yang memuji Imam Hussein.
Farouk, yang kerap mencabar pihak berkuasa Islam di negara ini berkata, Mujahid tidak harus tunduk kepada tekanan pihak yang mengaku sebagai “pembela Islam” seperti sebelum ini.
“Penganut Syiah telah wujud lebih 1,400 tahun bersama-sama saudara Sunni mereka. Justeru tiada pihak yang boleh menafikan hak mereka mengamalkan kepercayaan sendiri,” katanya.
“Di negara Malaysia baru, kita sepatutnya menerima mereka sebagai saudara. Inilah kesatuan umat Islam yang selalu kita sebut-sebut.”