
“Beliau pernah ke Asia dan banyak negara Eropah sebelum ini dan tidak pernah sesat,” kata Meabh dan Sebastien dalam satu kenyataan malam tadi.
Mereka berkata, Nora yang mempunyai masalah pembelajaran, tidak sama dengan remaja lain.
“Beliau tidak boleh berdikari dan tidak pergi ke mana-mana bersendirian,” kata mereka sambil menambah Nora juga sensitif, pemalu dan agak cemas ketika bersama orang asing.
Mereka berkata, Nora amat teruja dengan percutian selama 2 minggu di Malaysia kali ini.
Nora yang tiba bersama ibu bapanya Sabtu lalu, disedari hilang kira-kira 6.30 pagi pada 4 Ogos lalu ketika tinggal di Resort Dusun Rainforest, Negeri Sembilan.

Polis Negeri Sembilan dilaporkan berkata, operasi SAR diteruskan malam tadi dengan penggunaan 9 dron milik polis serta swasta yang dilengkapi teknologi pengesan haba.
Ibu bapa Nora yang pada asalnya tidak mahu bercakap kepada media, berkata anak mereka dilahirkan “holoprosencephaly”, di mana otaknya tidak berkembang dengan baik dan memberitahu cara beliau membesar.
Mereka berkata, selepas dilahirkan, Nora terpaksa menjalani pembedahan untuk membantu beliau bernafas.
Katanya, beliau banyak menghabiskan masa di hospital dan membesar dengan saiz otak lebih kecil.
“Nora ialah orang yang sangat istimewa. Beliau ceria, kelakar dan sangat penyayang. Apabila bersama keluarga, beliau amat mesra — keluarga ialah dunianya dan beliau suka permainan seperti Cat Bingo.
“Beliau suka buat lawak mengarut dan memakai t-shirt berwarna-warni.”
Mereka yang berasal daripada keluarga 2 bahasa dan budaya berkata, Nora bangga boleh berbahasa Perancis serta Inggeris, tetapi kemahiran komunikasi lisannya terhad.
“Nora boleh membaca seperti kanak-kanak, tetapi tidak boleh menulis melebihi beberapa perkataan. Beliau ada ingatan baik, namun tidak boleh memahami sebarang konsep.
“Beliau tidak boleh mengira, jadi perkara seperti menguruskan wang adalah mustahil dilakukannya.
“Beliau tidak boleh membuat atau menerima panggilan telefon bersendirian. Beliau boleh mandi dan memakai baju sendiri, tetapi tidak boleh membutang dan bergelut untuk membasuh rambutnya.”
Mereka mengucapkan terima kasih kepada polis serta agensi kerajaan yang menyertai misi pencarian Nora.
“Ada di kalangan mereka yang bekerja seharian, setiap hari dan keluarga kami mengucapkan berbanyak terima kasih.”
Ketua Polis Negeri Sembilan, Mohamad Mat Yusof dilaporkan berkata, kes itu masih diklasifikasikan sebagai kes orang hilang kerana tiada unsur jenayah dikesan setakat ini dan menolak dakwaan Nora diculik.
Katanya, siasatan oleh pasukan forensik turut mengesahkan Nora keluar dari resort itu melalui tingkap biliknya.