
Penyelaras Pusat Prihatin Orang Asli (COAC), Colin Nicholas mencabar individu itu menamakan NGO terbabit kerana suku Temiar berjuang bagi hak tanah adat mereka sejak 1980-an.
“Untuk mengatakan ‘dalang’ bertujuan membayangkan Orang Asli tiada kapasiti dan kemampuan untuk fikir serta bertindak sendiri.
“Ini ialah kenyataan yang amat merendah-rendahkan orang dan sama dengan cara pemikiran pembalak,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, Daud Samsudin yang mendakwa dirinya penolong penghulu Kampung Sungai Sarok, sekadar cucu kepada penghulung kampung itu dan mempunyai hubungan rapat dengan pembalak yang terbabit dalam pertikaian di Kampung Tasik Cunex dekat Gerik.
Katanya, penduduk Kampung Tasik Cunex yang berasal dari Keled, menolak dakwaan Daud yang mereka berasal dari Kampung Sarok.
“Pada 1970-an, disebabkan faktor keselamatan, mereka diminta berpindah ke Kampung Agam. Apabila tanah mereka ditenggelami air Empangan Kenering, mereka berpindah ke Kampung Sarok Lama.
“Mereka bukan kumpulan serpihan dari Kampung Sarok, mereka berasal dari Kampung Cunex. Mereka ditempatkan semula di Sarok oleh kerajaan.”
Nicholas berkata, disebabkan kerajaan tidak merealisasikan janji untuk membangunkan komuniti itu, penduduk kembali ke Kampung Cunex untuk melindungi hutan dan “tanah suci” mereka.
“Mereka nampak aktiviti pembalakan yang berlaku pada 1980-an dan tidak mahu ia berlaku kepada tanah mereka.”
Selasa lalu, Daud mendakwa sekumpulan NGO mendalangi sekatan terhadap pembalak di Kampung Cunex dan penduduk tidak pernah membangkitkan isu tanah adat sehingga NGO itu menggalakkan mereka berbuat demikian.
Daud turut mendakwa penduduk Kampung Tasik Cunex berasal dari Kampung Sungai Sarok, tetapi meninggalkan kampung itu pada 2017 disebabkan perselisihan faham agama dan mereka menceroboh serta menetap di kawasan Hutan Simpan Air Chepam.
Katanya, NGO itu turut datang ke Kampung Sungai Sarok untuk menggesa mereka memperjuangkan hak mereka, tetapi beliau enggan kerana tidak mahu menghalang projek kerajaan negeri.
Ketua Polis Perak, Razarudin Husain memberitahu FMT mereka tidak menyiasat dakwaan itu.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Shariffa Sabrina Syed Akil enggan mengesahkan dakwaan Daud kerana pertikaian Orang Asli itu kini menjadi kes mahkamah.
“Tidak wajar untuk mana-mana pihak membincangkan atau membuat komen awal kerana ini boleh dianggap sub judice,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, pihak berkaitan perlu memfokuskan usaha untuk mempertahan dan mengiktiraf hak Orang Asli, bukannya memburu dalang itu.
Katanya, semua NGO patut menyokong Orang Asli dalam memperjuangkan tanah adat mereka seperti yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Jika mana-mana NGO mempunyai misi khusus, mereka perlu menghulurkan bantuan. Tidak relevan untuk menuding jari di peringkat ini.
“Mari tumpu perhatian atas isu utama yang dihadapi Orang Asli.”