
Berikutan itu, ramai yang bangkit mendesak supaya denda atau penalti lebih berat dikenakan ke atas pihak yang bertanggungjawab melakukannya sebagai satu langkah pencegahan.
Bagaimanapun ramai yang tidak tahu bahawa terdapat peruntukan di bawah undang-undang yang membolehkan hukuman mati dilaksanakan bagi kes ekstrem dan mengancam nyawa.
Seksyen 121 (1) Akta Industri Perkhidmatan Air (AIPA) 2006 menyebut bahawa mana-mana orang yang mencemarkan atau menyebabkan pencemaran mana-mana alur air atau sistem bekalan air dengan niat untuk menyebabkan kematian, dengan pengetahuan ia berkemungkinan menyebakan kematian atau membahayakan nyawa, boleh dihukum dengan hukuman mati jika berlaku kematian akibat perbuatan itu.
Mereka yang disabitkan kesalahan juga boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun. Jika kesalahan tidak meibatkan kematian, maka hukuman sebat juga boleh dikenakan.
AIPA mentakrifkan sungai, anak sungai dan suak, laut, tasik, air bawah tanah, empangan, takungan, longkang, parit dan laluan sebagai “alur air”.
Hukuman mati yang disebut di bawah Seksyen 121 (1) adalah terpakai sekiranya sumber air dicemari.
Kumpulan pendesak alam sekitar, Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) memberitahu FMT, peruntukan ini menjadikan AIPA undang-undang yang sangat berkuasa yang boleh memberi kesan besar dalam usaha melindungi sumber air negara.
Bagaimanapun masalah utamanya ialah penguatkuasaan.
Naib presiden Peka, Saha Deva berkata, beliau tidak pernah mendengar hukuman mati dikenakan ke atas pencemar di bawah AIPA sejak ia digubal 13 tahun lepas.
“Kekurangan kepakaran, kemudahan pengujian dan pegawai penyiasat terlatih menghakis kemampuan untuk mensabitkan kesalahan di bawah AIPA,” katanya.
Beliau juga bercakap tentang masalah seperti rasuah dan tumpuan kepada keuntungan berbanding kemapanan.
“Tahap kesedaran rendah dan kekurangan kepakaran dalam kalangan agensi kerajaan membabitkan kesalahan alam sekitar sangat menonjol. Begitu juga dengan kemahuan untuk memperjuangkan perkara sedemikian,” katanya.
Laporan terbaru menyebut Sungai Kedah kini terlalu kotor iuntuk digunakan sebagai sumber bekalan air bagi pengguna di Alor Setar.
Pada masa sama, kesemua 4 loji rawatan air utama di Selangor digantung tugas 2 kali dalam tempoh beberapa hari berikutan kejadian tumpahan diesel dan pencemaran bau yang mengakibatkan gangguan bekalan air besar-besaran di Lembah Klang.
Saha, yang juga seorang peguam berkata, penguatkuasaan umumnya merupakan satu masalah dalam isu melibatkan alam sekitar.
Beliau mencadangkan prinsip kewaspadaan dimasukkan ke dalam semua undang-undang pihak berkuasa tempatan berkaitan alam sekitar, walaupun ia akan membabitkan pindaan perlembagaan.
Prinsip kewaspadaan menyebut bahawa langkah berjaga-jaga hendaklah diambil sekiranya sesuatu aktiviti meningkatkan ancaman kerosakan terhadap kesihatan manusia atau alam sekitar, walaupun sekiranya hubungan kesan sebab-akibat tidak disahkan sepenuhnya dan secara saintifik.
“Ini merupakan tugas sukar, bukan sahaja kerana kurangnya kesedaran dalam kalangan mereka yang ditugaskan dengan fungsi penguatkuasaan, malah kesedaran berhubung prinsip kewaspadaan di mahkamah juga rendah,” kata Saha.
Bagaimanapun katanya, hukuman mati sebagai langkah pencegahan adalah terbukti tidak berkesan, sama seperti kes pengedaran dadah.
“Justeru, pendidikan kekal sebagai penyelesaian jangka panjang kepada agenda perlindungan alam sekitar. Ia akan diperkuatkan lagi sekiranya agenda itu disebut dengan jelas dan secukupnya dalam perlembagaan negara.”