DBP dalam proses evolusi cetak kepada digital

DBP dalam proses evolusi cetak kepada digital

Abang Sallehuddin Abang Shokeran berkata DBP bakal terbitkan karya atau manuskrip dengan cepat dan boleh diakses masyarakat melalui internet.

DBP sedang berusaha mengangkat Malaysia sebagai salah satu pusat kajian berkaitan manuskrip Melayu dalam pelbagai bidang ilmu.
PETALING JAYA:
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memberitahu institusi yang berperanan menjaga bahasa dan kesusasteraan kebangsaan itu dalam proses evolusi bahan terbitannya kepada digital secara berperingkat.

Pengarahnya Abang Sallehuddin Abang Shokeran berkata, situasi semasa yang menyaksikan kemajuan drastik teknologi maklumat dan komunikasi yang turut melibatkan gabungan teknologi digital dan pengkomputeran dapat dimanfaatkan para penerbit selari dengan trend industri terkini.

“Melalui pendekatan baru penerbitan digital, diharapkan penerbitan-penerbitan kita ini akan dapat diperhebatkan.

“Ini satu peluang yang sangat luas kerana dewan boleh terbitkan sesuatu karya atau manuskrip dengan lebih cepat dan dapat diakses oleh masyarakat di mana sahaja melalui internet,” katanya dalam temubual dengan FMT.

Tambahnya, menerusi transformasi penerbitan 11 majalah dan buku digital itu kelak, masyarakat dijangka boleh membeli semua majalah dan buku digital pada harga yang rendah.

Jelasnya lagi, penekanan kepada penerbitan secara digital bertujuan untuk memberi ruang kepada masyarakat antarabangsa mengakses laman rasmi DBP di mana sahaja mengikut kategori bacaan yang mereka mahukan.

Abang Sallehuddin Abang Shokeran.

Hal ini katanya kerana, terdapat beberapa hasil terbitan sastera Melayu tidak sampai ke tangan-tangan pengkaji luar negara.

“Sebab itu, dengan usaha seperti ini, ke arah dunia digital, mereka boleh akses di mana sahaja.”

Wujudkan data raya bahasa Melayu

Selain itu, Abang Sallehuddin berkata peralihan daripada media cetak ke dunia digital adalah seiring dengan hasrat Kementerian Pendidikan untuk mengoptimumkan penggunaan bahan digital dalam pengajaran dan pembelajaran.

“Dengan teknologi ini juga kita harap dapat menyediakan data raya untuk bahasa Melayu.

“Perkasakan lagi bahasa kita dengan kongsi bahan-bahan yang kita ada,” katanya sambil menambah DBP berada dalam proses perbincangan dengan Perpustakaan Negara dan institusi pengajian tinggi yang lain.

Jelasnya, pihak yang paling aktif pada masa ini boleh dilihat daripada kerjasama dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Terengganu.

“Usaha ini yang akan mengangkat Malaysia sebagai salah satu pusat kajian berkaitan dengan manuskrip Melayu dalam pelbagai bidang ilmu.

“Selain turut mengeratkan hubungan dengan negara luar seperti Brunei, Indonesia dan Singapura serta Thailand melalui Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (Mabbim).”

Akui kelemahan

Ketika ditanya mengenai persepsi segelintir pihak bahawa DBP sebagai badan kerajaan yang masih ketinggalan dan tidak pro aktif dalam agenda perkasakan kesusasteraan dan bahasa Melayu berbading negara maju seperti Perancis, Jepun dan Korea, Abang Sallehuddin menafikan perkara itu.

“Jangan percaya kata-kata orang. Itu hanya persepsi. Kalau pergi di luar negara, ada yang anggap DBP hebat. Kita memiliki bahan, manuskrip dan terbitan dalam bahasa Melayu.

“DBP juga selalu sebut, di dunia ini, DBP lah satu-satunya yang ada untuk menjaga bahasa, sastera dan terbitan bahasa kebangsaan.”

Bagaimanapun, Abang Sallehuddin mengakui masih terdapat beberapa kelemahan dalam pengoperasian institusi itu terutamanya kekurangan pakar untuk memanfaatkan platform baru seperti internet.

“Juga ada masalah sikit kerana ada halangan-halangan tertentu di bawah akta-akta kita di bawah kerajaan terdahulu.

“Kini, kami sedang meminda perlembagaan dewan untuk menjadi lebih aktif di semua peringkat terutamanya antarabangsa.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.