
Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin dan Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran berkata, keputusan itu dibuat selepas mesyuarat Jawatankuasa Bersama Mengenai Pengurusan Pekerja Asing ke-3 hari ini yang mengambil kira keutamaan pengambilan rakyat tempatan serta fokus kepada sumber ekonomi lebih memberangsangkan.
“Dasar semasa yang membenarkan penggantian pekerja asing bagi subsektor tersebut akan dihentikan dalam masa 3 tahun lagi secara berperingkat mulai 2019 hingga 2021,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa bersama itu.
Jun lalu, Kula Segaran dilaporkan berkata, beliau tidak tahu sebab Putrajaya membekukan pengambilan pekerja asing dalam beberapa subsektor di bawah bidang perkhidmatan.
Dalam mesyuarat hari ini, kerajaan turut bersetuju memperluaskan skop tempoh kemasukan pekerja asing di bawah Pas Lawatan (Kerja sementara) untuk sektor pertanian khusus bagi penanaman padi.
“Keputusan itu dibuat setelah kedua-dua kementerian melihat pengusaha sawah menanggung kos operasi lebih tinggi pada masa ini.”
Sementara itu, Kementerian Sumber Manusia dalam rundingan akhir dengan kerajaan Bangladesh untuk memperbaiki industri sarung tangan getah di Malaysia.
Katanya, industri itu berdepan kekurangan tenaga kerja, khususnya membabitkan pekerja asing dari negara sumber tertentu seperti Bangladesh dan Nepal.
“Hasil rundingan antara kedua-dua pihak itu kelak akan dimaklumkan kepada jemaah menteri supaya hala tuju dapat diputuskan.
“Sementara itu, usaha bagi penggajian pekerja asing dari Nepal juga akan diteruskan.”