Tiada masalah sastera Melayu ‘dirampas’ agamawan, kata DBP

Tiada masalah sastera Melayu ‘dirampas’ agamawan, kata DBP

Ia susulan Faisal Tehrani mendakwa usaha mengangkat sastera Melayu sebagai sastera kebangsaan gagal apabila budaya kebangsaan 'dirampas' golongan Islamis.

Pengarah DBP Abang Sallehuddin Abang Shokeran.
PETALING JAYA:
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berkata tiada masalah jika produk sastera Melayu “dirampas” golongan agamawan selagi produk budaya kebangsaan itu tidak menyakiti hati mana-mana pihak.

“Seperti cerita Hindustan, walapun bahasa, tempat dan latar belakang filem mereka (ada unsur) Hindu, tapi kita seronok tengok sebab tak menyakitkan hati kita,” kata Pengarah DBP Abang Sallehuddin Abang Shokeran ketika ditemubual FMT.

Kenyataan itu dibuat susulan novelis Faizal Musa atau lebih dikenali sebagai Faisal Tehrani mendakwa usaha mengangkat sastera Melayu sebagai sastera kebangsaan gagal apabila budaya kebangsaan “dirampas” golongan Islamis.

Abang Sallehuddin bagaimanapun berkata, kenyataan Faisal kemungkinan besar hanya merujuk kepada hasil sastera Melayu yang menimbulkan kebencian kepada orang lain.

Katanya, dakwaan Faizal itu sudah menjadi lumrah ke atas karya sastera berteraskan agama Islam seperti hasil penulisan ilmuan terkenal Indonesia, Hamka.

Beliau berkata Hamka atau nama sebenanya Abdul Malik Karim Amrullah menghasilkan banyak karya sastera Indonesia dan tidak menimbulkan kebencian kepada peminat karyanya.

“Karya yang ajar akhlak mulia dan jangan rasuah, jangan pilih kasih dan tidak aniaya manusia lain. Nilai-nilai ini kalau ada, semua orang akan suka walaupun terasnya agama.”

Sebelum ini, FMT melaporkan Faisal berkata budaya kebangsaan seperti mana diilhamkan pada 1971 kini tidak lagi berada di atas landasan asal.

Beliau merujuk Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971 yang turut disertai seniman P Ramlee, sejarawan Khoo Kay Kim dan wartawan A Samad Ismail.

Katanya, segala yang dibincangkan pada kongres tersebut sama sekali belum tercapai malah jauh tersasar.

Faisal juga dipetik sebagai berkata tempias pengaruh golongan agamawan yang semakin meningkat turut terkena pada identiti budaya dan produk seni Melayu.

Katanya, sastera Islam merupakan genre kecil tetapi mendapat tempat yang sangat signifikan sehingga ia sinonim dengan sastera kebangsaan.

Tinjauan FMT mendapati, sehingga Julai, hanya 2 judul sastera Melayu diterbitkan oleh DBP. Manakala judul yang paling banyak diterbitkan daripada kategori agama ialah 18, sejarah (15) dan kesihatan (10).

Bilangan judul paling sedikit pula ialah sastera (2), motivasi (2) dan kejuruteraan (1).

Apabila ditanya sama ada penerbitan DBP kini memfokuskan kepada penerbitan naskah agama, Abang Sallehuddin menafikannya, mengatakan naskah sastera yang diterbitkan DBP sehingga Julai 2019 adalah sebanyak 24 judul.

“Bila dikira sekali dengan buku teks dan buku kanak-kanak,” katanya.

Beliau menambah, penerbitan judul agama tidak boleh dielakkan kerana mendapat sambutan yang sangat meluas bukan sahaja peminat tempatan malahan juga luar negara.

“Memang itu hakikatnya, kami ikut keperluan pasaran.

“Sekarang, di mana-mana sahaja, Malaysia ataupun Barat, keperluan buku agama sangat tinggi.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.