
Katanya, proses pemilihan akan dibuat DBP bersama panel penilai pemilihan Anugerah Sastera Negara yang diketuai Menteri Pendidikan, Maszlee Malik.
“Maszlee dah setuju. Mesyuarat panel penilai akan buat keputusan pada September. Insya Allah ia muktamad selepas penantian oleh orang ramai,” katanya dalam wawancara di pejabat FMT baru-baru ini.
Pada 29 Julai lalu, Mazlee dilaporkan berkata, akan ada kejutan dalam pengumuman Sasterawan Negara kali ini, selepas spekulasi mendakwa Faisal Tehrani, nama pena bagi ahli akademik, Dr Faizal Musa yang 7 bukunya diharamkan kerajaan, antara nama dipertimbangkan secara serius, walaupun terdapat bantahan daripada DBP dan arus perdana bidang sastera.
Faisal menghasilkan lebih 20 kertas akademik dibaca ramai mengenai sejarah Melayu, drama, cerpen dan novel yang memenangi beberapa hadiah serta anugerah, tetapi ada yang cukup kontroversi untuk dianggap ancaman kepada ketenteraman awam oleh kerajaan terdahulu.
Pada 19 Julai lalu, FMT memetik sumber sebagai berkata, satu senarai calon Sasterawan Negara dicadangkan DBP tidak diterima baik Maszlee yang sepatutnya menyerahkan nama terpilih untuk mendapat persetujuan Yang di-Pertuan Agong.
Menurut laporan itu, Maszlee dikatakan “tidak senang” dengan kebanyakan nama yang dikemukakan kepadanya.
Abang Sallehuddin berkata, isu “tidak senang” dengan Faisal tidak pernah timbul kerana DBP sentiasa bersifat terbuka dalam menerima sebarang fahaman politik, ideologi dan kritikan.
Katanya, Faisal ialah seorang daripada ahli akademik yang dipelawa berkongsi ilmunya dalam Seminar Antarabangsa Susastera, Bahasa dan Budaya Nusantara yang turut disertai DBP di Langkawi beberapa hari lalu.
“Ia sebagai satu rahmat. Kalau ada perbezaan pandangan, kami sedia untuk berbincang.
Ditanya apakah bentuk pengumuman tergempar mengenai Sasterawan Negara kali ini, Abang Sallehuddin hanya tersenyum.
“Sayangnya kita tidak boleh beritahu kerana perkara yang melibatkan pemilihan calon Sasterawan Negara masih menjadi agenda yang rahsia dan sulit. Tak boleh saya kongsikan.”
Katanya, tiada perbezaan ketara dalam proses pencalonan, penilaian dan pemilihan pemenang kali ini walaupun panel pemilihan diketuai Maszlee.
Beliau berkata, masih ada beberapa prosedur yang menjadi garis panduan dalam pemilihan Sasterawan Negara.
“Pertama, individu itu layak dicalonkan individu, persatuan atau tokoh. Mempunyai karya-karya dalam memartabatkan budaya dan bahasa kebangsaan, sama ada melalui komersial seperti buku mahupun media kreatif seperti filem dan lain-lain.”
Pemilihan lebih terbuka
Abang Sallehuddin berharap proses pemilihan Sasterawan Negara pada masa depan akan lebih terbuka dengan mengambil kira pandangan umum, terutamanya peminat kesusasteraan Melayu.
“Pada masa depan, kami mahu semua orang tahu siapa calon Sasterawan Negara.
“Juga, mereka boleh undi calon-calon tersebut di ruang media. Kita mahu lebih sifat terbuka dan sudah tentu pelaksanaannya akan memeriahkan lagi anugerah tersohor ini.”
Tetapi, katanya, langkah itu tidak boleh dilaksanakan sekarang disebabkan kekangan akta dan perlembagaan DBP.