Sabah lulus ajaran sesat disebat, termasuk pertubuhan ‘rahmatan lil ‘alamin’

Sabah lulus ajaran sesat disebat, termasuk pertubuhan ‘rahmatan lil ‘alamin’

Ajaran Pertubuhan Rahmatan Lil 'Alamin, Hizbut Tahrir dan Syiah antara 11 ajaran atau fahaman yang diwarta sesat oleh Majlis Fatwa Sabah setakat 2017.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan Rang Undang-undang (RUU) bagi meminda Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995 yang akan berkuat kuasa pada 9 September tahun ini.

RUU pindaan itu dibentangkan Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Aidi Moktar itu dibahaskan 6 Adun Sabah untuk membahaskannya sebelum diluluskan oleh Speaker DUN, Syed Abbas Syed Ali selepas bacaan kali ke-3.

Aidi berkata Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Pindaan) 2019 itu bagi mengadakan takrif agama Islam dan Ahli Sunnah Waljamaah, selain menjadikan sebatan sebagai penalti bagi ajaran doktrin dan pelaksanaan upacara atau perbuatan berhubungan agama Islam yang bertentangan dengan hukum syarak serta fatwa dikuatkuasakan di negeri ini.

Pindaan enakmen itu juga bagi mengadakan peruntukan baru mengenai larangan mengembangkan doktrin agama selain daripada doktrin agama Islam, katanya ketika membentangkan RUU pindaan berkenaan.

Aidi berkata berdasarkan perkembangan semasa, segelintir umat Islam saling bertelingkah dalam perkara dasar dan ranting agama sehingga menyebabkan perpaduan semakin longgar dan terancam, justeru, adalah perlu umat Islam disatukan di bawah satu aliran kefahaman aqidah, amalan fiqh, syariah dan tasawwuf yang muktabar.

“Islam agama menyatukan umat dan mengetepikan pertelingkahan. Sebarang pemikiran, tindakan dan amalan menyebabkan perpecahan mesti dielakkan. Begitu juga dengan aliran ajaran sesat yang meresap dalam masyarakat Islam wajar dibenteras supaya umat Islam berada dalam kefahaman amalan benar,” katanya.

Aidi berkata kewujudan aliran ajaran sesat dan fahaman melampau satu daripada sebab pindaan berkenaan perlu dilaksanakan dalam kadar segera.

Beliau berkata setakat 2017, Majlis Fatwa Sabah mewartakan 11 ajaran atau fahaman sesat termasuk 3 dimulakan dan diasaskan dari Sabah iaitu Ajaran Pertubuhan Rahmatan Lil ‘Alamin, Tariqah Hasaniah dan Ajaran Islam Jama’ah.

Katanya, 3 ajaran sesat turut tersenarai iaitu Millah Abraham @ Ibrahim, Hizbut Tahrir dan Syiah mempunyai fahaman melampau sehingga tahap sanggup melancarkan perang ke atas pemimpin dan kerajaan yang tidak sependapat atau tidak sejajar dengan ajaran mereka.

“Kewujudan ajaran sesat ini terutama berfahaman melampau bukan sahaja memberi kesan negatif atau ancaman keselamatan kepada penduduk beragama Islam tetapi juga kepada semua penduduk di Sabah tanpa mengira agama dan bangsa.

“Oleh itu, rang undang-undang pindaan ini bertujuan menyekat penularan ajaran sesat dan fahaman melampau untuk mengelakkan kekeliruan serta ancaman keselamatan dalam kalangan penduduk Sabah,” katanya.

Persidangan DUN Sabah bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.