Dong Zong, Jiao Zong sokong pengenalan khat selepas bertemu timbalan menteri

Dong Zong, Jiao Zong sokong pengenalan khat selepas bertemu timbalan menteri

Teo Nie Ching berkata 2 kumpulan pendidikan Cina berpengaruh itu dan 10 NGO lain secara konsensus menyokong pengenalan seni tulisan Jawi di sekolah-sekolah aliran.

PUTRAJAYA:
Kumpulan pendidikan Cina, Dong Zong dan Jiao Zong akhirnya menyokong rancangan memperkenalkan pengenalan seni tulisan Jawi atau khat Jawi dalam mata pelajaran bahasa Melayu Tahun 4 di sekolah-sekolah aliran tahun depan, kata Teo Nie Ching.

Timbalan menteri pendidikan itu berkata keputusan itu dicapai secara konsensus dalam pertemuan melibatkan Dong Zong, Jiao Zong dan 10 NGO lain termasuk kumpulan pendidikan Tamil.

Teo berkata mereka bersetuju pengenalan kepada seni warisan bahasa Melayu itu diperkenalkan di sekolah aliran tetapi tidak bersetuju jika murid-murid diwajibkan belajar Jawi.

“Kedua, kita juga semua di sini setuju apabila kenalkan khat kepada murid-murid pada tahun depan, mereka tidak akan diuji,” katanya pada sidang media di Kementerian Pendidikan hari ini.

Sebelum itu, Teo mengadakan pertemuan dengan mereka selama hampir 2 jam di KPM berhubung isu pengenalan khat itu.

Turut serta dalam pertemuan hampir 2 jam di kementerian hari ini adalah Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia, Persekutuan Persatuan-Persatuan Alumni Sekolah China Malaysia dan Tamil Foundation.

Perkembangan ini menyusuli kenyataan semalam menggesa kerajaan menangguhkan pengenalan kepada seni tulisan Jawi itu, meminta kerajaan menjelaskan adakah kemahiran melukis khat akan diuji dalam peperiksaan.

Putrajaya hari ini merakamkan terima kasih kepada pertubuhan-pertubuhan masyarakat berkenaan kerana mengambil berat tentang pengenalan seni tulisan.

“Kementerian komited tambah baik Dokumen Standard Kurikulum Pentaksiran kita,” kata Teo.;

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.