2 hospital sedia teknologi baru pembedahan kanser paru-paru

2 hospital sedia teknologi baru pembedahan kanser paru-paru

Teknik 'Video-Assisted Thoracoscopic Surgery membolehkan pesakit kanset membuat pembedahan kecil yang kurang menyakitkan.

KUALA LUMPUR:
Teknologi baru bagi pembedahan kanser paru-paru kini boleh didapati di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Pusat Pakar Universiti Malaya (UMSC), yang menawarkan pembedahan kurang menyakitkan, kos efektif, dan tempoh rawatan di wad hospital yang lebih singkat.

Perunding Pakar Bedah Kardiotorasik PPUM dan UMSC, Dr Sivakumar Krishnasamy berkata teknologi baru yang dikenali sebagai “Uniportal ‘Video-Assisted Thoracoscopic Surgery’ (VATS)” adalah teknik yang membolehkan pesakit kanser membuat pembedahan kecil yang kurang meyakitkan berbanding pembedahan konvensional.

“Kami dapati teknik ini kurang meyakitkan bagi para pesakit, malah mereka boleh sembuh lebih pantas dan boleh memulakan rawatan berikutnya dengan lebih awal. Ia hanya pembedahan melibatkan satu insisi kecil kira-kira 3cm, dan dengan latihan yang cukup, semua peralatan perlu boleh melaluinya,” katanya.

Sivakumar berkata demikian selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan pakar bedah torasik terkemuka dunia Dr Diego Gonzales Rivas, yang mengiktiraf PPUM sebagai pusat latihan Uniportal VATS Masterclass Malaysia hari ini.

Katanya, pesakit hanya perlu berada di hospital untuk 2 atau 3 hari berbanding tempoh seminggu yang diperlukan untuk pembedahan konvensional kanser paru-paru.

“Biasanya dengan pembedahan konvensional, pesakit terpaksa menahan sakit selama beberapa hari, di mana mereka mungkin merasa tidak selesa, dan kemungkinan besar boleh membawa kepada jangkitan kanser, dan akhirnya mengakibatkan tempoh rawatan di hospital menjadi lebih panjang.

“Bagaimanapun dengan Uniportal VATS, semua komplikasi ini dapat diminimumkan kerana tidak ada rusuk yang terseliuh, tidak ada pendarahan otot, insisi lebih kecil, sekaligus membolehkan pesakit bernafas dengan lebih baik selepas pembedahan, supaya mereka boleh dibenarkan pulang lebih awal.”

Sivakumar berkata idea memperkenalkan Uniportal VATS timbul selepas beliau menjalani latihan 3 bulan bawah bimbingan Diego di Hospital Pulmonari Shanghai Pulmonary, hospital kanser terbesar di dunia.

“Menerusi MoU ini, Diego yang juga pencipta teknik Uniportal VATS akan berkongsi pengalamannya mewujudkan kesedaran mengenai prosedur ini dalam negara, dan pada masa yang sama membaiki teknik buat semua pakar bedah lain, menerusi kelas pakar yang singkat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.