Pelabur mahu tahu nasib Lynas, kata menteri

Pelabur mahu tahu nasib Lynas, kata menteri

Kerajaan tidak akan berkompromi mengenai keselamatan dan kesihatan rakyat.

Menteri Pembangunan Usahawan Redzuan Yusof.
PETALING JAYA:
Seorang menteri pusat berkata, keputusan kerajaan membenarkan Lynas meneroka pilihan menyediakan kemudahan pelupusan kekal adalah langkah tepat dalam usaha mengatasi isu sisa pemprosesan nadir bumi.

Bercakap kepada FMT, Menteri Pembangunan Usahawan Redzuan Yusof berkata, beliau juga gembira bahawa akan wujud kejelasan berhubung status pembaharuan lesen operasi Lynas kerana ia adalah sesuatu yang diperhati rapat oleh pelabur.

“Saya bertemu pelabur dalam industri bernilai tinggi yang mahu datang dan memulakan perniagaan di sini kerana mereka mahu dekat dengan Lynas disebabkan nadir bumi merupakan unsur pentig dalam industri mereka.

“Masalahnya mereka tidak pasti sekiranya Lynas akan terus ada di sini. Ini tidak baik untuk pelaburan.”

Beliau berkata, salah sebuah syarikat itu ialah pembuat bateri untuk kenderaan cekap tenaga yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) yang mahu membina kilang bernilai AS$2 bilion di Malaysia dan mampu mencipta banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi.

Redzuan berkata, kerajaan tidak akan berkompromi mengenai keselamatan dan kesihatan rakyat, tetapi mengakui sukar untuk menolak dakwaan terhadap Lynas yang diketengahkan oleh pengkritiknya.

“Jawatankuasa penilaian peringkat tinggi yang ditubuhkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah mengesahkan keselamatan operasi Lynas.

“Malah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu turut mengesahkannya. Saya fikir semua pihak tidak harus beremosi, sebaliknya melihat fakta saintifiknya.”

Katanya, pelabur mungkin bimbang untuk datang ke Malaysia sekiranya fakta saintifik tidak dipedulikan.

“Jika Lynas mengikut peraturan, jadi bagaimana kita mahu berikan mereka layanan berlainan? Jika kita berbuat demikian, maka syarikat besar lain akan tertanya-tanya sekiranya mereka juga akan dilayan begitu.”

Keputusan sama ada kerajaan akan memperbaharui lesen operasi kilang Lynas dijangka dibuat pada 15 Ogos ini.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini mengisyaratkan bahawa pengeksportan sisa tidak akan dijadikan syarat pembaharuan lesen tersebut.

Sehubungan itu, menteri tenaga Yeo Bee Yin memberi respons positif terhadap keputusan membenarkan Lynas meneroka opsyen menyediakan kemudahan pelupusan.

Lynas juga mengesahkan bahawa ia telah mendepositkan dana berjumlah AS$42 juta (RM175 juta) untuk tujuan pengurusan sisa jangka panjang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.