
Dalam satu kenyataan bersama dengan 10 kumpulan berkepentingan Tamil dan Cina yang lain, mereka berkata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu memberi penjelasan lanjut bahawa murid sekolah tidak akan menjalani ujian berdasarkan kemahiran menulis khat semasa peperiksaan walaupun ia dimasukkan dalam Dokumen Standard Kurikulum Pentaksiran (DSKP) dan sukatan pelajaran.
Jurucakap mereka, Pengerusi Jiao Zong, Ong Chiow Chuen, mendesak kementerian mendedahkan bahagian mana dalam silibus dan DSKP yang akan dipinda dengan memberi penjelasan lanjut tentang bagaimana khat akan diperkenalkan di sekolah rendah Tamil dan Cina.
“Ini adalah penting untuk mengikis kebimbangan dan keraguan orang ramai, malah juga memastikan pelaksanaan tersebut menepati keperluan murid-murid SJKC dan SJKT.
“Maka, kami berpendapat sebelum KPM memperjelaskan segala perkara tersebut untuk pengetahuan orang ramai, pelaksanaan ini harus ditangguhkan untuk perbincangan semula.”

Turut hadir pada sidang media itu ialah Pengerusi Dong Zong, Tan Tai Kim dan wakil daripada 10 kumpulan termasuk Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong), Yayasan Tamil, Gabungan Dewan Perniagaan dan Industri Cina dan Merdeka University Bhd.
Kumpulan itu berkata langkah memperkenalkan khat iaitu kaligrafi Jawi tidak akan membantu pelajar sekolah rendah Cina dan Tamil meningkatkan kemahiran bahasa Melayu mereka.
Mereka berkata sebagai salah satu cara untuk menambah keseronokan aktiviti pembelajaran Bahasa Melayu, hanya setakat memperkenalkan tulisan khat sudah memadai.
Kumpulan itu berkata mereka tidak bersikap tidak patriotik atau menolak pembelajaran khat dan Jawi, sambil menambah ada yang ingin mempolitikkan perkara itu.
Namun mereka berkata usaha kementerian untuk mempertingkatkan interaksi antara kaum dan budaya di sekolah akan mengambil kira semua pandangan, dan mencadangkan wakil daripada organisasi Cina dan India turut serta dalam semakan kandungan buku teks.
“Kami akan bertemu Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching esok untuk membincangkan isu ini, jadi kami boleh mengetahui maklumat terkini tentang ini.”