4 lelaki bertopeng rompak barang kemas bernilai RM1 juta

4 lelaki bertopeng rompak barang kemas bernilai RM1 juta

2 lelaki dirompak ketika dalam perjalanan membawa barangan kemas milik majikan menaiki 2 kereta untuk dihantar ke Kelantan.

Polis percaya kes rompakan barang kemas bernilai RM1 juta yang dalam perjalanan ke Kelantan, sudah dirancang.
IPOH:
Barang kemas bernilai kira-kira RM1 juta dipercayai dilarikan 4 lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang dalam kejadian samun di Jalan Chin Hwa, Taman Chateau awal pagi tadi.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak Anuar Othman berkata dalam kejadian pukul 6.30 pagi itu, 2 lelaki berusia lingkungan 30-an sedang dalam perjalanan membawa barangan kemas milik majikan menaiki 2 kereta untuk dihantar ke Kelantan.

“Setibanya di jalan ini, 1 daripada kereta yang sedang membawa barang kemas itu untuk dipasarkan ke negeri berkenaan dilanggar sebuah lori.

“Pemandu lori bertopeng itu kemudian turun bersama seorang lagi suspek dengan membawa parang dan menyamun 4 beg berisi barang kemas berkenaan yang disimpan di dalam kedua-dua kereta bersama 2 lagi suspek yang dipercayai menaiki kenderaan lain,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Beliau berkata kejadian berlaku pantas dalam tempoh 5 minit dengan suspek meninggalkan lori berkenaan di tempat kejadian.

Katanya pemeriksaan mendapati lori yang digunakan itu dilaporkan baru dicuri di sekitar Klang, Selangor awal pagi tadi.

“Kami percaya kes ini sudah dirancang dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.

Anuar berkata pihak polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup di sekitar kawasan kejadian dan menggerakkan elemen-elemen pasukan bagi mengesan semua suspek.

Beliau berkata seorang daripada mangsa cedera dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk menerima rawatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.