Pengerusi UPM diganti atas pertimbangan profesional, kata kementerian

Pengerusi UPM diganti atas pertimbangan profesional, kata kementerian

Bekas naib canselor UM, Ghauth Jasmon dilantik menggantikan Syed Razlan Syed Putra Jamalullail sebagai pengerusi lembaga pengarah UPM.

Kementerian Pendidikan berkata, pelantikan Ghauth Jasmon sebagai pengerusi lembaga pengarah UPM sebahagian daripada usaha menjadikannya 100 universiti terbaik dunia dalam masa 2 tahun. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kementerian Pendidikan (KPM) berkata, keputusan memendekkan kontrak Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia, Syed Razlan Syed Putra Jamalullail dibuat berdasarkan pertimbangan profesional demi kepentingan institusi pengajian tinggi awam itu secara keseluruhan.

“KPM amat menghargai sumbangan dan jasa Syed Razlan sepanjang beliau menjawat jawatan sebagai pengerusi lembaga pengarah UPM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, bekas naib canselor Universiti Malaya, Ghauth Jasmon dilantik untuk menggantikan Syed Razlan.

Kementerian itu berkata, Ghauth ialah calon paling sesuai berdasarkan reputasi baiknya dalam aspek pengurusan dan pentadbiran universiti, termasuk prestasinya di UM.

“Pelantikan ini sebahagian daripada usaha untuk memastikan sasaran UPM sebagai 100 universiti terbaik dunia dapat dicapai dalam tempoh 2 tahun.

“Keputusan ini diambil setelah mengambil kira pandangan pelbagai pihak di UPM, termasuk akar umbi di universiti berkenaan dan KPM sentiasa mengutamakan kepentingan institusi dalam hal ini.”

Syed Razlan yang dilantik ke jawatan itu pada Oktober 2018 selama 3 tahun, dilaporkan menerima surat pemberhentian bertarikh 17 Julai lalu, ketika beliau disiasat atas dakwaan salah laku oleh pengurusan tertinggi UPM.

Surat yang ditandatangani Menteri Pendidikan, Maszlee Malik itu tidak memberi sebab terhadap pemecatannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.