
Pegawai Unit Perisikan Udara India (AIU) menyoal siasat lelaki berusia 48 tahun itu, selepas 2 uncang putih ditemui dalam pakaiannya, manakala 8 uncang lagi disembunyikan dalam periuk di dalam bagasinya yang didaftar masuk.
Semua 10 uncang itu mengandungi 55 kantung kecil berzip di mana berlian berkenaan disembunyikan.
AIU dalam satu kenyataan berkata, mereka bertindak atas maklumat yang batu permata itu mungkin diseludup dari Malaysia.
Konsul Jeneral Malaysia di Chennai, Saravanan Karathihayan memberitahu Bernama hari ini, polis India sedang menjalankan siasatan lanjut.
Lelaki itu memberitahu pihak berkuasa India, dia sepatutnya menghantar berlian itu kepada seseorang di luar lapangan terbang setibanya di sana dengan penerbangan dari Kuala Lumpur.
Namun, tiada orang yang datang mengambil barang itu apabila dia keluar dari lapangan terbang sambil diperhatikan polis dari jarak tertentu.