
Timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu yang lantang mengkritik Lynas menyalahkan kerajaan terdahulu sebagai punca hutang negara terlalu tinggi sehingga Putrajaya terpaksa meminjam wang dari Jepun.
“Saya ingin maklumkan Jepun merupakan benefisiari mutlak daripada hasil REE (Unsur Nadir Bumi) kilang Lynas.
“Mungkinkah pelabur-pelabur di Jepun akan berdiam diri sekiranya Lynas tidak dapat meneruskan bekalan REE kepada mereka?” katanya dalam surat terbuka kepada rakyat Malaysia yang ditulis dari Mekah hari ini.

Fuziah berkata, industri hiliran di Jepun akan lumpuh jika Putrajaya tidak meluluskan lesen operasi Lynas.
“Bayangkan keadaan tersepit yang kita berada kini.”
Semalam, kerajaan dilaporkan akan mengumumkan keputusan memperbaharui lesen operasi Lynas di Gebeng selewat-lewatnya 15 Ogos ini.
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin dilaprkan berkata kerajaan juga akan mengumumkan keputusan sama ada pembuangan sisa radioaktif daripada loji pemprosesan Lynas perlu dihantar ke negara asal Australia atau sebaliknya.
Fuziah berkata, beliau kekal dengan pendirian dahulu, iaitu Lynas tidak patut dibenarkan beroperasi dan menyimpan sisa pembuangan radioaktif yang akan membawa kesan negatif dalam jangka panjang.
Bagaimanapun, beliau kecewa kerana ada sekelompok ahli Kabinet terdahulu daripada Barisan Nasional yang masih terpedaya dengan Lynas dan bersungguh-sungguh mempertahankan syarikat nadir bumi Australia itu.
“Ketika kita menentang Lynas, ahli Kabinet ini ketika itu bersama kerajaan terdahulu serta mereka memahami isu Lynas dari kaca penilaian kerajaan terdahulu dan gagal memahami isu sebenar tentang Lynas yang diperjuangkan oleh saya dan rakan-rakan.
“Mereka menganggap isu ini isu politik ketika itu dan mereka kekal dalam kefahaman tersebut. Tambahan pula, isu Lynas ini agak teknikal dan sukar difahami, mungkin itu juga sebab mereka gagal memahaminya.”
Beliau mengingatkan bekas ahli Kabinet itu supaya tidak meletakkan keuntungan pelaburan melebihi keselamatan dan kepentingan rakyat.
Katanya, Malaysia tidak menerima cukai sesen pun daripada Lynas sejak 2012 kerana kerajaan terdahulu memberi status “perintis strategik” yang membolehkan syarikat itu menikmati pengecualian cukai selama 12 tahun.
“Industri hiliran yang mendapat manfaat pula bukan industri dalam negara.
“Ianya cukup tidak berbaloi. Sebaliknya kita terperangkap dengan isu pengurusan sisa buangan radioaktif yang bertimbun seperti gunung.
“Semoga Kabinet diberi petunjuk dan hidayah untuk membuat keputusan terbaik 15 Ogos ini.”