Putrajaya umum keputusan perbaharui lesen Lynas menjelang 15 Ogos

Putrajaya umum keputusan perbaharui lesen Lynas menjelang 15 Ogos

Menteri tenaga, sains, teknologi, alam sekitar dan perubahan iklim berkata, kerajaan juga akan mengumumkan keputusan sama ada pembuangan sisa radioaktif Lynas perlu dihantar ke Australia atau sebaliknya.

Yeo Bee Yin berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan beberapa ahli Parlimen bagi membincangkan operasi kilang Lynas pada Selasa depan. (Gambar Facebook)
SHAH ALAM:
Kerajaan akan mengumumkan status berhubung isu memperbaharui lesen operasi kilang pengeluaran nadir bumi, Lynas Malaysia Sdn Bhd selewat-lewatnya 15 Ogos ini.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata kerajaan juga akan mengumumkan keputusan sama ada pembuangan sisa radioaktif daripada loji pemprosesan Lynas perlu dihantar ke negara asal Australia atau sebaliknya.

“Lynas hanya boleh buat pembaharuan lesen dalam tempoh 30 hari, iaitu sebelum tamat lesen mereka pada 2 September depan.

“Lynas sudah membuat permohonan untuk memperbaharui lesen pada 2 Ogos, iaitu semalam jadi permohonan masih diproses, kita akan keluarkan kenyataan rasmi secara terperinci kepada semua selewat-lewatnya 15 Ogos,” katanya selepas melancarkan Minggu Sains Negara peringkat Selangor di Perpustakaan Awam Selangor hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi serta Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian.

Yeo berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan beberapa ahli Parlimen bagi membincangkan operasi kilang Lynas pada Selasa depan.

Ia berikutan ada beberapa ahli Parlimen yang tidak bersetuju dengan operasi kilang Lynas, termasuk pembuangan sisa radioaktif daripada loji syarikat itu.

Mengenai tindakan Gabungan Selamatkan Malaysia Hentikan Lynas yang membantah operasi kilang Lynas, Yeo berkata, setiap rakyat mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan.

“Saya rasa kerajaan sudah ambil pandangan semua pihak yang menyuarakan kebimbangan tentang isu alam sekitar dan keselamatan rakyat, tapi beberapa orang ada pandangan berbeza.

“Apa saya boleh katakan ialah keputusan yang dicapai bukan paling ideal, bagi sayalah. Tetapi, ia lebih baik daripada status quo.”

Mei lalu, Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata Malaysia akan membenarkan Lynas terus beroperasi di negara ini.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berpendirian sisa kilang Lynas di Gebeng, Kuantan perlu dihantar ke Australia untuk dilupuskan di lombong di sana, jika Lynas dibenar meneruskan operasinya di sini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.