Dong Zong nafi mahu berhimpun bantah KPM perkenal tulisan jawi di sekolah

Dong Zong nafi mahu berhimpun bantah KPM perkenal tulisan jawi di sekolah

Kementerian Pendidikan mempertahankan rancangan memperkenalkan tulisan khat dalam subjek Bahasa Melayu Tahun 4 pada 2020, walaupun dibantah pertubuhan pendidikan Cina.

Dong Jiao Zong berkata, ia tidak membantah usaha kerajaan melaksanakan interaksi kebudayaan antara pelbagai kaum, sebaliknya mempersoalkan kaedah yang digunakan KPM bagi memperkenalkan tulisan jawi di sekolah.
PETALING JAYA:
Dua pertubuhan pendidikan Cina, Dong Zong dan Jiao Zong hari ini menafikan laporan media bahawa ia akan menganjurkan satu perhimpunan pada 5 Ogos ini bagi membantah langkah Kementerian Pendidikan memperkenalkan tulisan jawi dalam subjek Bahasa Melayu di sekolah Jenis Kebangsaan.

“Pihak Dong Jiao Zong ingin menjelaskan tiada perhimpunan diadakan, sebaliknya hanya satu mesyuarat dalaman yang akan diadakan bersama beberapa pertubuhan pelbagai kaum untuk membincangkan isu penambahan seni khat dalam subjek Bahasa Melayu di SRJKC dan SRJKT,” katanya dalam satu kenyataan.

“Mesyuarat dalaman ini semata-mata menumpukan pengupasan dan analisis tentang inisiatif Kementerian Pendidikan itu melalui aspek pedagogi pendidikan, keberkesanan pembelajaran dan realiti serta fungsi pragmatik seni khat jawi dalam peningkatan penguasaan dan pengetahuan Bahasa Melayu,” katanya.

Ia berkata, mesyuarat itu juga akan membincangkan dan meneliti siaran akhbar Kementerian Pendidikan semalam mengenai perkara itu.

Ia berkata, Dong Jiao Zong tidak membantah usaha kerajaan melaksanakan interaksi kebudayaan antara pelbagai kaum dan nilai murni kepelbagaian dan integrasi, sebaliknya mempersoalkan kaedah yang digunakan oleh pihak kementerian.

“Namun bukanlah melalui kaedah yang menyebabkan kesangsian, was-was dan rasa kurang menyenangkan. Malah (ia dibuat) tanpa berbincang dan diskusi secara terperinci dengan pelbagai pihak termasuk pertubuhan pendidikan dan masyarakat majmuk,” katanya.

Semalam, Kementerian Pendidikan mempertahankan rancangan memperkenalkan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 pada 2020, meskipun berdepan bantahan daripada pertubuhan pendidikan Cina.

“Perancangan tulisan khat ini dilaksanakan melalui semakan semula kurikulum sejak 2014. Usaha ini juga melalui pelbagai sesi libat urus dengan pakar bahasa dan pendidikan,” katanya dalam kenyataan.

Kementerian itu berkata, pengenalan seni tulisan khat bertujuan menerapkan nilai warisan bahasa Melayu, sejajar dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan.

Dalam kenyataan yang sama, Dong Jiao Zong merakamkan kerisauan bahawa berita yang tidak bertanggungjawab tentang perhimpunan tersebut boleh mencetuskan salah faham dan reaksi negatif yang tidak diingini.

“Pihak kami ingin menegaskan bahawa mesyuarat yang akan diadakan merupakan program dalaman yang hanya dihadiri oleh beberapa pertubuhan pelbagai kaum yang diundang sahaja,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menolak bantahan terhadap langkah kementerian memperkenalkan tulisan jawi di sekolah dengan berkata, ia hanya bertujuan mendedahkan pelajar kepada tulisan itu.

“Para pelajar hanya perlu kesan garis bentuk (tulisan) dalam buku teks,” kata Setiausaha Agung Harry Tan, dan menambah mereka hanya diberi 5 ungkapan untuk latihan tulisan khat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.