NGO harap kerajaan tidak ‘double standard’ bantu pekebun kecil

NGO harap kerajaan tidak ‘double standard’ bantu pekebun kecil

Menteri Industri Utama Teresa Kok baru-baru ini mengumumkan kerajaan akan menyediakan pinjaman mudah berjumlah RM550 juta untuk penanaman semula kelapa sawit.

Pekebun kecil sawit terus berharap PH akan membela nasib mereka seperti yang dijanjikan semasa pilihan raya umum lepas.
PETALING JAYA:
Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (Generasi) yang memperjuangan isu berkaitan Felda berharap kerajaan ikhlas dalam membantu pekebun kecil sawit berhubung skim pinjaman yang ditawarkan baru-baru ini.

Presidennya, Roslan Md Esa berkata, walaupun skim itu baik, tetapi kerajaan diharap tidak bersikap “double standard” dalam memilih pekebun kecil sawit yang mahu membuat pinjaman daripada skim itu.

“Jangan pilih orang yang hanya menjadi penyokong tegar Pakatan Harapan (PH) sahaja, sementara orang lain tidak dilayan dan diberikan bantuan.

“Jika dilihat, hampir kebanyakan janji yang dibuat PH tidak ditunaikan dan kita sudah tentu sokong mana yang memberi manfaat kepada pekebun kecil sawit,” katanya kepada FMT.

Isnin lalu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan Skim Pinjaman Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) yang dijangka memanfaatkan dari 7,000 hingga 10,000 pekebun kecil dengan anggaran keluasan tanaman sebanyak 50,000 hektar.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata, kerajaan akan menyediakan pinjaman mudah sebanyak RM550 juta dengan kadar faedah rendah 2% setahun untuk penanaman semula kelapa sawit.

Teresa berkata pada masa ini, seluas 324,597 hektar kawasan tanaman sawit mempunyai profil umur pokok melebihi 25 tahun dan tidak lagi produktif.

Katanya, hasil produktiviti sawit yang rendah akan menjejaskan pendapatan pekebun kecil.

Presiden Generasi, Roslan Md Esa.

Roslan bagaimanapun melihat skim pinjaman itu tidak bersifat holistik kerana hanya menyasarkan 10,000 pekebun kecil sawit sahaja sedangkan jumlah sebenar lebih daripada itu.

Katanya, bagaimanapun, pekebun kecil sawit tetap menunggu janji dibuat oleh PH untuk membela nasib mereka sebelum pilihan raya umum lepas ditunaikan.

“Mereka sokong bukan hanya sokong, tetapi mereka menangkan PH sebab janji yang telah ditaburkan.

“Tidak kira kerajaan Barisan Nasional (BN) atau PH, kita akan sokong jika usaha mereka memberi kebaikan dan manfaat kepada rakyat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.