
Katanya, ibu ketiga-tiga kanak-kanak itu yang berumur 32 tahun dan teman wanitanya berumur 33 tahun sudah ditahan kira-kira pukul 3.40 petang semalam di rumah mereka di Tasek Gelugor.
“Kedua-dua suspek sedang menjalani perintah reman untuk siasatan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana melakukan penganiayaan terhadap kanak-kanak,” katanya di sini.
Menurutnya, ketiga-tiga kanak-kanak itu tinggal bersama ibu dan rakan wanitanya itu selepas ayah mereka dihalau oleh ibu mereka dari rumah sejak 4 bulan lepas.
“Anak sulung wanita itu dalam laporan polisnya berkata sejak itulah dia bersama 2 adik lelakinya sering dipukul oleh ibu mereka menggunakan tali pinggang dan dipercayai rakan wanita ibu mereka turut sama mendera ketiga-tiga kanak-kanak ini,” katanya.
Noorzainy berkata kejadian dera dan pukul itu pada mulanya dikesan guru sekolah 2 daripada kanak-kanak berkenaan selepas mereka kerap tidak hadir dan pihak sekolah kemudiannya memaklumkan ayah mereka sebelum laporan polis dibuat.
Katanya ketiga-tiga kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Kepala Batas untuk menerima rawatan serta pemeriksaan dan doktor mendapati terdapat kesan lebam pada badan 3 mangsa tersebut namun mereka tidak mengalami sebarang kecederaan yang serius.
“Polis turut merampas tali pinggang yang digunakan ibu mereka untuk memukul 3 kanak-kanak itu dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.