Bekas pengarah JSJ Bukit Aman Zaman Khan masuk ICU

Bekas pengarah JSJ Bukit Aman Zaman Khan masuk ICU

Zaman Khan terbabit dalam beberapa kes berprofil tinggi termasuk kes Botak Chin dan kes Bentong Kali.

Zaman Khan Rahim Khan. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Zaman Khan Rahim Khan dimasukkan ke unit rawatan rapi Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas dilaporkan pengsan pagi tadi.

Anak sulungnya, Zakimi berkata bapanya yang mempunyai masalah buah pinggang pengsan ketika sedang menunggu temujanji berjadual dengan doktor di HKL kira-kira pukul 11 pagi dan diberikan bantuan pernafasan.

“Beliau kini bawah pemerhatian rapi doktor untuk tempoh 48 hingga 72 jam dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya kepada Bernama.

Pada Januari tahun lepas, Zaman Khan pernah menjalani rawatan di HKL susulan pendarahan dalam usus.

Zaman Khan, 76, merupakan Pengarah JSJ Bukit Aman pada 1993 yang terbabit dalam kes berprofil tinggi termasuk kes Wong Swee Chin (Botak Chin) dan P Kalimuthu (Bentong Kali).

Beliau juga merupakan antara pegawai kanan polis yang terawal di lokasi kejadian tragedi kondominium Highland Towers pada 1993.

Zaman Khan pernah berkhidmat sebagai ketua polis Selangor dari 1975 hingga 1978 dan menamatkan perkhidmatan dalam pasukan beruniform sebagai ketua pengarah penjara pada 1997.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.