
Desakan itu dibuat kerana syarikat ladang berkenaan gagal menyiapkan rumah seperti yang dijanjikan dengan memberi pelbagai alasan.
Difahamkan pembinaan projek tersebut siap 80% sejak 2002, namun pembeli terlibat yang terdiri daripada pekerja ladang kelapa sawit masih belum memiliki kediaman tersebut.
Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), A Sivarajan berkata, pada 1999, seramai 54 pembeli menandatangani Perjanjian Jual Beli (S&P) susulan polisi kerajaan negeri ketika itu yang meminta semua syarikat ladang membina rumah kepada pekerja mereka.
“Bagaimanapun, syarikat pemaju terlibat dikatakan telah muflis dan menyebabkan pembinaan rumah kos rendah berkenaan tidak dapat diteruskan,” katanya kepada pemberita di depan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).
Terdahulu, Sivarajan bersama bekas pekerja Ladang Bukit Beruntung hadir menyerahkan memorandum kepada Pejabat Exco Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin Negeri Selangor, V Ganabatirau.
Sivarajan berkata pemaju terlibat juga dilihat cuba mengelak bagi menyelesaikan permasalahan itu dan hanya bercadang membuat bayaran balik deposit sebanyak RM2,500 dengan tambahan faedah sebanyak 5% kepada pembeli terlibat.
Beliau berkata memandangkan permasalahan ini masih belum menemui jalan penyelesaian, pembeli terlibat mencadangkan kepada pemaju sebelum ini untuk memberikan lot tanah kepada mereka sebagai ganti.
“Namun pihak terlibat seolah tidak ikhlas untuk menyelesaikan perkara ini dan menawarkan lot tanah berlainan yang terletak jauh di kawasan pendalaman serta tidak sesuai untuk pembinaan rumah.
“Tambahan pula pekerja terlibat perlu membeli lot tanah ini dengan harga RM20 untuk 1 kaki persegi,” katanya.
Sivarajan memaklumkan pihaknya menyerahkan morandum berkenaan kepada wakil exco bagi meminta permasalahan ini dapat diberikan perhatian sewajarnya oleh kerajaan Selangor.
Katanya, pejabat exco turut memberikan respon positif dan akan memanggil semua pembeli terlibat dalam masa terdekat bagi membincangkan mengenai perkara itu.
Sementara itu bekas pekerja ladang, G Tamilselva berkata, pihaknya kecewa dengan wakil pemaju dan mendakwa ditipu apabila pihaknya dijanjikan bahawa isu tersebut akan diselesaikan.
Susulan kegagalan projek tersebut siap mengikut waktu ditetapkan, pihaknya terpaksa menyewa rumah di luar dengan harga yang tinggi.
“Kami terpaksa menyewa rumah di luar sementara rumah siap, sudah 20 tahun kami menyewa, kos sewa RM450 sebulan.
“Bagi kami jumlah itu agak tinggi, memandangkan pendapatan kami tidak seberapa, kami harap pihak kerajaan segera selesaikan isu ini, sudah lama kami merana,” katanya kepada FMT.
Perjanjian jual beli Projek Perumahan Pekerja Ladang Bukit Beruntung dibuat sejak 1999 dan mula terbengkalai pada 2002 dengan alasan anak syarikat milik ladang gulung tikar walaupun ladang tersebut masih beroperasi sehingga kini.