Asean: Ketegangan di Laut China Selatan hakis kepercayaan, jejas keamanan serantau

Asean: Ketegangan di Laut China Selatan hakis kepercayaan, jejas keamanan serantau

Pada Rabu, Menteri Luar China Wang Yi berkata, Asean dan China selesai bacaan pertama Teks Rundingan Draf Tunggal mengenai CoC di Laut China Selatan lebih awal.

Mesyuarat Menteri Luar Asean ke-52 di Bangkok mengalu-alukan rundingan dengan China ke arah kesimpulan awal Kod Tatalaku di Laut China Selatan yang berkesan dan substantif untuk dimuktamadkan dalam tempoh 3 tahun. 
BANGKOK:
Beberapa menteri luar Asean melahirkan kebimbangan terhadap isu penambakan laut, pendudukan dan insiden serius yang berlaku di Laut China Selatan yang dipertikaikan.

Dalam kenyataan bersama Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Asean ke-52 di Bangkok, menteri luar Asean berkata, situasi itu menghakis kepercayaan dan keyakinan, meningkatkan ketegangan dan boleh menjejaskan keamanan, keselamatan dan kestabilan di rantau ini.

“Kami menegaskan keperluan untuk meningkatkan kepercayaan dan keyakinan bersama, menahan diri daripada melakukan pendudukan dan mengelak tindakan yang boleh merumitkan lagi situasi.

“Selain itu perlu diteruskan resolusi damai terhadap pertikaian berdasarkan undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut Antarabangsa 1982 (UNCLOS),” menurut kenyataan itu.

Menteri itu juga menekankan pentingnya penyelesaian bukan ketenteraan dan kawalan diri dalam menjalankan semua kegiatan oleh pihak yang menuntut dan negara lain.

Ini termasuklah isu yang disebutkan dalam Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihak Berkepentingan (DOC) di Laut China Selatan, yang boleh merumitkan lagi keadaan dan meningkatkan ketegangan di Laut China Selatan.

Dalam kenyataan bersama itu juga, menteri luar mengalu-alukan rundingan antara Asean dan China ke arah kesimpulan awal Kod Tatalaku (CoC) di Laut China Selatan yang berkesan dan substantif yang disasarkan untuk dimuktamadkan dalam tempoh 3 tahun.

Kenyataan itu menyebut para menteri luar turut menyambut baik usaha menyelesaikan bacaan pertama Teks Rundingan Draf Tunggal CoC.

“Kami menegaskan keperluan untuk mengekalkan dan menggalakkan persekitaran yang kondusif ke arah rundingan CoC, justeru mengalu-alukan langkah praktikal yang boleh mengurangkan ketegangan dan risiko kemalangan, salah faham dan salah perhitungan.

“Kami menekankan kepentingan menanam keyakinan dan melaksanakan langkah pencegahan bagi meningkatkan antaranya, kepercayaan dan keyakinan dalam kalangan pihak berkaitan, dan kami mengesahkan kepentingan menegakkan undang-undang antarabangsa, termasuk UNCLOS 1982,” kata kenyataan itu.

Pada Rabu, Menteri Luar China Wang Yi berkata, Asean dan China telah selesai dalam bacaan pertama Teks Rundingan Draf Tunggal mengenai CoC di Laut China Selatan lebih awal daripada jadual.

Beliau berkata, ia merupakan satu kemajuan dan langkah utama ke arah matlamat memuktamadkan rundingan dalam tempoh tiga tahun.

Ketegangan semakin meningkat di Laut China Selatan berikutan kejadian baru-baru ini membabitkan kapal China, Vietnam dan Filipina apabila China menyalahkan Amerika Syarikat kerana menjejaskan keselamatan dengan menimbulkan persaingan strategik dan memperhebatkan perlumbaan senjata serantau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.