Selepas tragedi Darul Ittifaqiyah, mana hala tuju tahfiz tak berdaftar?

Selepas tragedi Darul Ittifaqiyah, mana hala tuju tahfiz tak berdaftar?

Tinjauan FMT mendapati masih ada sekolah tahfiz di PJ, Shah Alam dan Subang Jaya yang beroperasi sejak sekian lama tanpa mendapat kelulusan Jais.

Pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terbakar pada pagi 14 September 2017, kini dibuka untuk solat Jumaat penduduk Keramat.
KUALA LUMPUR:
Masih segar dalam ingatan tragedi kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Keramat pada pagi 14 September 2017 yang menyaksikan 21 pelajar dan 2 warden ditemui rentung dalam kebakaran premis itu, 2 tahun lalu.

Tragedi yang menggemparkan seluruh negara itu menerima pelbagai reaksi pelbagai lapisan masyarakat termasuk raja-raja negeri.

Pelbagai gesaan dan amaran dibuat terhadap pengoperasian pusat tahfiz tidak berdaftar dan gagal mendapat permit daripada bomba bagi kelulusan mendiami bangunan masing-masing.

Tinjauan FMT ke lokasi kejadian di Jalan Keramat Hujung, baru-baru ini mendapati bangunan Darul Quran Ittifaqiyah itu tidak lagi beroperasi sepenuhnya.

Namun, ia dibuka kepada masyarakat setempat untuk menunaikan solat Jumaat.

FMT dimaklumkan penduduk setempat, sejak insiden tragis itu, pihak pengurusan pusat itu cuba memulihkan dan membaiki kerosakan bangunan yang menelan belanja lebih RM1 juta.

Kini, bahagian bawah bangunan pusat tahfiz itu siap dibaiki sepenuhnya dan ia boleh digunakan penduduk sekitar.

Kata penduduk yang ditemui, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memberi kebenaran ruang berkenaan digunakan untuk solat Jumaat memandangkan surau berhampiran tidak dapat menampung jemaah dari sekitar Datuk Keramat.

 Pandangan sisi hadapan pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.

Selain solat Jumaat, bahagian bawah bangunan itu juga boleh digunakan untuk menjalankan aktiviti keagamaan seperti kelas mengaji Al-Quran dan pengurusan jenazah.

FMT turut dimaklumkan, Darul Quran Ittifaqiyah masih beroperasi di kawasan dan lokasi yang lain.

Namun, menurut sumber yang dekat dengan kes saman keluarga mangsa terhadap pengurusan pusat tahfiz itu, pengurusan pusat tahfiz itu mengambil bilangan pelajar yang sedikit berbanding sebelumnya.

FMT masih mencuba menghubungi bekas pengetua institusi berkenaan bagi mendapatkan pengesahan.

Pada tinjauan berasingan juga mendapati masih terdapat sekolah tahfiz di sekitar Petaling Jaya, Shah Alam dan Subang Jaya yang beroperasi sejak sekian lama tanpa mendapat kelulusan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Semakan di portal sistem maklumat pendidikan Islam yang diperkenalkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendapati sekolah tahfiz berkenaan masih tidak berdaftar walaupun sudah beroperasi selama lebih 3 tahun.

FMT menghubungi beberapa sekolah berkenaan melalui carian atas talian, salah seorang pengetua sekolah yang enggan dinamakan mengakui pusat tahfiznya tidak didaftarkan kerana risau dengan silibus pembelajaran.

“Mereka (Jais) akan periksa, tapi kami takut tak menepati sukatan yang ditetapkan.

“Sekolah ini, kami ajar semua, wahabi atau tidak,” katanya ketika dihubungi FMT.

Apabila ditanya lebih lanjut, beliau mengelak untuk mengatakan sama ada sekolahnya berada di bawah pemantauan Jais.

Ruangan atas bangunan yang musnah dijilat api yang mengorbankan 23 nyawa itu masih boleh dilihat sehingga hari ini.

Di bawah Jais, hanya 263 sekolah swasta tahfiz berdaftar sehingga kini.

FMT sedang mendapatkan perkembangan terkini bilangan sekolah tahfiz yang sudah berdaftar, dalam proses pendaftaran dan belum berdaftar bagi negeri lain.

Ini kerana, laman web kerajaan negeri masing-masing tidak memberikan data terkini tentang isu tersebut.

Sekolah tahfiz dilihat masih tumbuh seperti cendawan selepas hujan sejak beberapa tahun ini, dan aliran pendidikan itu masih mendapat perhatian beberapa pihak terutamanya selepas beberapa tragedi berlaku menimpa sekolah tahfiz.

Selepas desakan pelbagai pihak susulan kejadian kebakaran Darul Quran Ittifaqiyah, kerajaan pusat dan negeri berikrar untuk melupuskan pusat tahfiz tidak berdaftar demi keselamatan pelajar dan penghuninya.

Terdahulu, Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad dilaporkan berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menutup semua pusat tahfiz tidak berdaftar dan beroperasi secara haram bagi memastikan keselamatan serta kebajikan pelajar terjamin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa dilaporkan berkata, pihaknya tiada kuasa menutup tahfiz haram di Kuala Lumpur kerana ia di bawah kuasa DBKL.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.