Veteran Umno Kelantan parah ditetak 2 lelaki

Veteran Umno Kelantan parah ditetak 2 lelaki

Kamaruddin Abdullah ditetak di bahagian kepala dan badan oleh 2 lelaki bermotosikal ketika dalam perjalanan ke masjid untuk solat maghrib.

Mangsa ditetak pada bahagian kepala dan rusuk menyebabkan jubah putih yang dipakainya berlumuran darah sebelum rebah dan dikejarkan ke HRPZ II. (Gambar Facebook)
KOTA BHARU:
Timbalan Pengerusi Veteran Umno Kelantan Kamaruddin Abdullah cedera parah diserang 2 lelaki menggunakan senjata tajam kira-kira pukul 7.30 malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan Wan Khairuddin Wan Idris berkata mangsa ditetak pada bahagian kepala dan badan oleh 2 lelaki bermotosikal.

“Keadaan mangsa agak stabil dan kini sedang dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

“Kes akan disiasat secara terperinci mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat,” katanya ketika dihubungi.

Dalam kejadian itu, Kamaruddin dikatakan diserang 2 lelaki ketika berjalan kaki ke masjid berdekatan untuk menunaikan solat maghrib berhampiran Jalan Tengku Chik.

Mangsa dikatakan ditetak pada bahagian kepala dan rusuk sehingga menyebabkan jubah putih yang dipakainya berlumuran darah sebelum rebah dan dikejarkan ke hospital oleh rakan-rakannya manakala 2 lelaki berkenaan melarikan diri menggunakan motosikal.

Sementara itu, Pengerusi Veteran Umno Kelantan Rozali Isohak ketika dihubungi tidak mengetahui motif serangan dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.