Tunggu pengumuman ‘besar’ Sasterawan Negara, kata menteri

Tunggu pengumuman ‘besar’ Sasterawan Negara, kata menteri

Maszlee Malik berkata demikian selepas spekulasi beliau tidak puas hati dengan senarai calon yang diserahkan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Dalam laporan FMT pada 19 Julai lalu, Maszlee Malik dikatakan ‘tidak senang’ dengan kebanyakan calon Sasterawan Negara yang dikemukakan DBP.
KUALA LUMPUR:
Menteri Pendidikan, Maszlee Malik berkata, akan ada kejutan dalam pengumuman Sasterawan Negara berikutnya, selepas timbul spekulasi penerima kali ini bukan pemain arus perdana dalam bidang sastera.

“Perkembangan terkini adalah kita akan ada kejutan besar dalam (anugerah) Sasterawan Negara. Percayalah saya,” katanya kepada FMT ketika ditanya spekulasi beliau menolak senarai dicadangkan Dewan Bahasa dan Pustaka yang ditugaskan untuk menyenarai pendek calon.

Beliau bagaimanapun tidak menjawab sama ada beliau tidak puas hati dengan senarai DBP itu.

“Jangan percaya khabar angin,” katanya dalam majlis pelancaran Laporan Tahunan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 di Bank Negara hari ini.

Pada 19 Julai lalu, FMT memetik sumber sebagai berkata, satu senarai calon Sasterawan Negara dicadangkan DBP tidak diterima baik Maszlee yang sepatutnya menyerahkan nama terpilih untuk mendapat persetujuan Yang di-Pertuan Agong.

Menurut laporan itu, Maszlee dikatakan “tidak senang” dengan kebanyakan nama yang dikemukakan kepadanya.

“Menteri itu merasakan nama-nama itu tidak mencerminkan semangat Sasterawan Negara, di mana bukan hanya seseorang yang terlibat dalam pembangunan kesusasteraan tetapi juga seorang yang ambil tahu isu-isu sosial ketika ini,” kata sumber dalam laporan 19 Julai lalu.

Anugerah Sasterawan Negara kali terakhir diumumkan pada 2015, apabila penyair Zurinah Hassan dinamakan penerima wanita pertama sejak anugerah itu diwujudkan pada 1981.

Penerima terdahulu termasuk Allahyarham Shahnon Ahmad dan Usman Awang, serta aktivis dan penyair, A Samad Said.

Spekulasi mendakwa Faisal Tehrani, nama pena bagi ahli akademik, Dr Faizal Musa yang 7 bukunya diharamkan kerajaan, antara nama dipertimbangkan secara serius, walaupun terdapat bantahan daripada DBP dan arus perdana bidang sastera.

Faisal menghasilkan lebih 20 kertas akademik dibaca ramai mengenai sejarah Melayu, drama, cerpen dan novel yang memenangi beberapa hadiah serta anugerah.

Ada yang cukup kontroversi untuk dianggap ancaman kepada ketenteraman awam oleh kerajaan terdahulu, dan kerajaan Pakatan Harapan tidak tergesa-gesa membatalkan pengharaman itu, mungkin disebabkan tekanan daripada birokrat Islam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.