Sistem naungan rosakkan PH, kata aktivis

Sistem naungan rosakkan PH, kata aktivis

Antara penyebab kerajaan PH tidak berkesan ialah kewujudan sistem naungan yang diwarisi daripada kerajaan BN sebelum ini.

Aktivis Sarawak Francis Paul Siah.
KUCHING:
Seorang aktivis negeri Sarawak berkata, sistem naungan yang diwarisi daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) membawa kerosakan kepada Pakatan Harapan (PH).

Pemimpin Pergerakan Perubahan Sarawak (MoCS), Francis Paul Siah berkata, pemimpin PH perlu memperuntukkan lebih banyak masa mengurus hal ehwal negeri, bukannya menghabiskannya dengan berpolitik.

Beliau berkata, ramai pemimpin PH lebih mengutamakan kelangsungan kerjaya politik mereka, berbanding berusaha menjaga kepentingan rakyat.

Katanya, antara penyebab kerajaan sekarang tidak berkesan ialah kewujudan sistem naungan yang diwarisi daripada kerajaan BN sebelum ini.

“Kerajaan PH lebih mengutamakan ahli dan penyokongnya dengan memberikan kepada mereka kedudukan selesa, lazimnya dengan mengetepikan calon lebih sesuai dan berkelayakan di luar parti komponen pakatan politik itu.

“Rakyat Malaysia pernah berdepan salah laku kerajaan BN, justeru adalah menyedihkan apabila bekas pemimpin BN yang kini berada dalam kerajaan PH masih tidak mengubah cara mereka,” katanya.

Francis berkata, harapan rakyat adalah tinggi sewaktu mereka mengundi untuk memilih sebuah kerajaan baru dan berharap perubahan lebih baik akan berlaku.

Beliau bersetuju dengan kenyataan penasihat DAP, Lim Kit Siang bahawa pemimpin PH perlu menyedari tentang kekecewaan dirasai oleh ramai penyokong yang percaya kerajaan PH kini bergerak ke arah cara lama BN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.