
Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata syarikat itu mungkin berkhidmat untuk kerajaan negeri bagi membersihkan sungai itu, dan pekerja mereka mungkin menumpahkan diesel ke dalam air.
“Ia mungkin kecuaian pekerja mereka (syarikat) sendiri,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan satu majlis di Cheras hari ini.
Beliau menambah pihaknya menolak unsur sabotaj selepas penahanan 2 individu.
Beliau juga memberi jaminan pihak polis akan terus menyiasat kes tersebut memandangkan gangguan itu menjejaskan sehingga 5 juta pengguna di Lembah Klang.
Sebelum ini, Menteri Tanah dan Sumber Asli Xavier Jayakumar berkata siasatan polis mengesahkan wujud unsur sabotaj dalam pencemaran diesel di Sungai Selangor yang menyebabkan penutupan 4 loji rawatan air utama, minggu lalu.
Loji itu juga ditutup seminggu susulan pencemaran bau di sumber air mentah Sungai Selangor.
Terdahulu, syarikat perlombongan pasir milik kerajaan Selangor, Kumpulan Semesta Sdn Bhd berkata, ia sedang menyiasat kemungkinan sabotaj dan khianat menjadi punca tumpahan diesel di Sungai Selangor yang dikesan dekat Kolam Hang Tuah.