NGO sambut baik cadangan iktiraf ‘agama tradisi’ Orang Asli

NGO sambut baik cadangan iktiraf ‘agama tradisi’ Orang Asli

Menteri di JPM P Waytha Moorthy sebelum ini berkata, beliau mahu bekerja dengan kerajaan untuk mengiktiraf 'agama tradisi' Orang Asli.

Naib Presiden Jaringan Orang Asal SeMalaysia, Yusri Ahon. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Orang Asli menyambut baik cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy yang mahu mengiktiraf “agama tradisi” Orang Asli.

Naib Presiden Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS), Yusri Ahon berkata, ini akan membolehkan masyarakat lebih menghormati adat kerohanian dan kepercayaan Orang Asli.

“Selama ini walaupun adat itu kita jadikan panduan kehidupan, tetapi masih ada pihak yang tidak menghormatinya.

“Misalnya kita lihat kubur nenek moyang Orang Asli kerap dirosakkan dan baru-baru ini ada pula pihak cuba menyekat adat tradisi menjalankan tanaman bergilir.

“Ini tidak baik kerana menurut kepercayaan Orang Asli, tradisi tanaman bergilir ada kaitan dengan alam roh,” katanya kepada FMT.

Sabtu lepas Waytha berkata, beliau akan bekerja dengan kerajaan untuk megiktiraf “agama tradisi” Orang Asli.

Katanya, rakyat Malaysia umumnya salah faham dan menganggap Orang Asli tidak mempunyai agama, termasuk dalam kalangan ahli politik.

Bagaimanapun katanya, ia merupakan satu isu sensitif yang perlu ditangani dengan cermat.

Dalam pada itu beliau juga berkata, asimilasi masyarakat Orang Asli tidak merupakan sebahagian daripada agenda kerajaan.

Yusri berkata, walaupun Orang Asli sememangnya sudah ada agama sendiri berdasarkan kepercayaan kerohanian masyarakat itu, tetapi ramai masih menganggap mereka tidak mempunyai agama.

“Sebenarnya adat dan kepercayaan kita adalah panduan untuk menjalankan aktiviti seharian kita,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.