
Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna Selangor itu turut menyamakan kempen bebas plastik di Selangor seperti kempen bebas asap rokok dijalankan kerajaan persekutuan.
“Tidak ada rancangan tutup kilang plastik sedia ada. Mereka hendak hasilkan produk itu kuasa mereka. Ini macam rokok, kita larang rokok tetapi kita masih benarkan kilang rokok untuk hasilkan rokok. Jangan jadikan ia isu.
“Pengguna ada hak gunakan beg plastik, kita hanya didik pelanggan supaya mereka kurangkan beg plastik. Pengharaman beg plastik hanyalah pada 2025,” katanya dalam persidangan DUN Selangor, hari ini.
Hee berkata demikian menjawab soalan tambahan Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar (Amanah-Meru) yang mempersoalkan tindakan Selangor terus membenarkan kilang plastik beroperasi, ketika menjalankan kempen bebas plastik.
“Kalau kita buat kempen tetapi pengeluaran (plastik) masih ada, tidak guna juga,” kata Fakhrulrazi.
Terdahulu, Hee memaklumkan Selangor akan melaksanakan penguatkuasaan larangan penggunaan beg plastik secara menyeluruh menjelang 2025.
Galak rakyat guna straw keluli
Dalam perkembangan lain, Hee mempertahankan keputusan kerajaan negeri yang melarang premis makanan di Selangor menyediakan penyedut minuman plastik kepada pelanggannya.
Menurutnya, Selangor menggalakkan rakyatnya menggunakan penyedut minuman keluli tahan karat (stainless steel) dan turut menggalakkan premis makanan menyediakan penyedut minuman kertas kepada pelanggan.
“Saya juga galakkan semasa minum jangan guna penyedut minuman, guna mulut. Kalau kita boleh minum kopi panas dengan cawan, saya rasa tidak ada masalah minum minuman sejuk dengan cawan juga,” katanya.
Bermula 1 Julai lalu, semua premis makanan di Selangor dilarang menyediakan penyedut minuman plastik kepada pelanggan dan turut tidak dibenarkan menyediakan straw plastik di kaunter untuk diambil secara bebas pelanggan.