
Surat pekeliling yang dilihat oleh FMT mendedahkan jawatan baru Hanafiah akan berkuatkuasa pada 1 Ogos depan, tetapi pengganti bagi jawatan semasa beliau tidak dinamakan.
Ia berkata, Hanafiah yang dilantik sebagai peguamcara negara pada November tahun lepas, akan kekal di Gred 3 kakitangan pemangku.
Pemeriksaan di laman web ILKAP menunjukkan ia diketuai oleh seorang ketua pengarah, Anita Harun, seorang pegawai Jusa gred B.
Hanafiah yang dijadualkan akan bersara tahun depan dilantik sebagai Peguamcara Negara III berikutan penstrukturan semula Jabatan Peguam Negara tahun lepas.
Beliau melapor langsung kepada Peguam Negara Tommy Thomas dan bertanggungjawab mengendalikan sektor litigasi bahagian sivil, bahagian pendakwaan dan bahagian rayuan serta perbicaraan.
Semua pegawai pendakwa negeri di seluruh negara melapor kepadanya.
Beliau mendapat perhatian media September tahun lepas setelah mengambil tanggung jawab penuh ke atas keputusan menarik balik pendakwaan terhadap Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan seorang ahli perniagaan wanita.
Kedua-dua mereka dibebaskan daripada pertuduhan rasuah dalam penjualan sebuah banglo di Jalan Pinhorn, George Town selepas pihak pendakwaan enggan memanggil saksi lanjut.
Tommy, yang pernah mewakili Lim sebagai peguam dalam kes tersebut, menarik diri dan membenarkan Hanafiah membuat keputusan mengenainya.
Hanafiah juga hadir bersama-sama peguam Muhammad Shafee Abdullah dalam rayuan kes liwat Anwar Ibrahim di Mahkamah Persekutuan pada Februari 2015.
Panel 5 hakim mengekalkan sabitan dan hukuman 5 tahun penjara ke atas Anwar sehingga beliau diberikan pengampunan penuh selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya umum ke-14 pada Mei tahun lepas.