Lebih 51,000 saman trafik tertunggak di Sarawak libat warga asing

Lebih 51,000 saman trafik tertunggak di Sarawak libat warga asing

Majoriti kesalahan trafik yang dilakukan oleh warga asing ialah memandu melebihi had laju, serta meletakkan kereta di kawasan yang tidak dibenarkan.

Punca utama masalah tunggakan saman trafik warga asing di Sarawak ialah kerana polis serta JPJ tidak mempunyai akses maklumat peribadi dan alamat pemilik kenderaan berdaftar dari negara asing. (Gambar Bernama)
MIRI:
Polis akan mencari mekanisme sesuai bagi penyelesaian masalah 51,101 saman trafik tertunggak yang melibatkan warga asing di Sarawak.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Alexson Naga Chabu berkata, jumlah saman trafik tertunggak itu adalah dari tempoh 2008 sehingga Julai 2019 dengan 85% melibatkan warga Brunei dan Indonesia.

“Setakat Julai 2019 sebanyak 28,922 saman trafik tertunggak telah diselesaikan,” katanya.

Alexson berkata, majoriti kesalahan trafik yang dilakukan oleh warga asing ialah memandu melebihi had laju serta meletakkan kereta di kawasan yang tidak dibenarkan.

“Polis akan meneruskan Operasi Saman Tertunggak Warga Asing (OSTWA) di lokasi sempadan berhampiran dengan negara jiran untuk membolehkan pesalah trafik terbabit menyelesaikan saman trafik,”katanya.

Beliau berkata, antara mekanisme yang akan dipertimbangkan ialah mengadakan perbincangan dengan kedua-dua negara terbabit untuk mencari kaedah sesuai memaklumkan kepada pesalah trafik di sana mengenai saman tertunggak di Sarawak.

Menurutnya, punca utama masalah tunggakan saman trafik warga asing di Sarawak ialah kerana polis serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak mempunyai akses maklumat peribadi dan alamat kediaman pemilik kenderaan berdaftar dari negara asing.

“Ini menyebabkan ramai pesalah trafik warga asing yang memasuki Sarawak tidak menyedari mereka melakukan kesalahan trafik kerana sukar untuk menghantar surat atau notis pemberitahuan saman trafik kepada mereka di negara masing-masing,” katanya.

Bagi saman trafik terhadap warga tempatan, beliau berkata, setakat ini sebanyak 584,511 saman dikeluarkan dengan majoriti kesalahan melibatkan memandu melebih had laju.

“Jumlah tertinggi saman ialah di Kuching diikuti Miri, Bintulu dan Sibu,” katanya lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.