
Dalam satu kenyataan, Ramasamy berkata, Waytha diberikan tanggungjawab bagi memastikan dana tersebut digunakan untuk memperbaiki kualiti hidup orang India yang terperangkap dalam kitaran ganas kemiskinan dan jenayah.
Katanya, dana tersebut disalurkan kepada pelbagai persatuan, tetapi tidak ada ketelusan mengenainya.
“Waytha yang sepatutnya mengemukakan maklumat itu kepada Majlis Wakil Rakyat India Pakatan Harapan (EIRCPH) tidak berbuat demikian walaupun beliau dijemput membuat pemakluman itu.
“Keengganannya menghadiri pertemuan yang diadakan menunjukkan beliau tidak berminat mengemukakan maklumat penuh tentang bagaimana dana itu dibelanjakan atau beliau beranggapan dirinya lebih mulia dan tidak perlu hadir pertemuan yang dianjurkan oleh majlis berkenaan,” katanya.
Ramasamy berkata, Waytha, yang pernah berkhidmat sekejap sebagai seorang timbalan menteri dalam kerajaan Barisan Nasional (BN) tahu bagaimana dana diberikan pada masa itu.
“Janganlah ulangi kesilapan BN atau MIC yang menyaksikan dana yang diperuntukkan kepada orang India yang miskin disalurkan kepada pihak lain.
“Jika Waytha berfikir bahawa dengan berdiam diri beliau boleh mengetepikan desakan supaya bersikap bertanggungjawab, maka beliau silap atau diberikan nasihat salah.
“Beliau hanya perlu jelaskan secara terbuka bagaimana duit cukai rakyat RM100 juta itu dibelanjakan, untuk tujuan apa dan nama persatuan yang menerima dana tersebut,” katanya.
Katanya, walaupun dana RM100 juta tidak besar jika dibandingkan dengan wang yang diberikan kepada Felda dan lain-lain, Ramasamy, yang juga merupakan timbalan ketua menteri II Pulau Pinang seterusnya bertanya sekiranya Waytha berpuas hati dengan dana yang diperuntukkan itu.