Kempen miliki rumah tidak bijak, kata perancang kewangan

Kempen miliki rumah tidak bijak, kata perancang kewangan

Pinjaman perumahan merupakan salah satu punca hutang rumah tangga tinggi.

Pakar ekonomi berkata, naratif kerajaan dalam menggalakkan pemilikan rumah seolah-olah mewakili suara pemaju hartanah. Ia adalah idea yang membawa kepada hutang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang perancang kewangan mempersoal kebijaksanaan usaha kerajaan mengalakkan pemilikan rumah dengan berkata ia membantutkan langkah mengurangkan hutang rumah tangga.

Robert Foo, pemilik sebuah syarikat perancang kewangan berkata, pinjaman perumahan merupakan salah satu punca hutang rumah tangga tinggi.

Menurut angka kerajaan, hutang rumah tangga di Malaysia kini ialah sebanyak 82% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), jauh mengatasi paras di negara yang menikmati pendapatan perkapita lebih tinggi.

“Ramai orang mendapat idea salah bahawa mereka perlu memiliki rumah sendiri, sedangkan apa yang mereka perlukan ialah tempat perlindungan pada harga yang munasabah,” katanya kepada FMT.

“Naratif kerajaan dalam menggalakkan pemilikan rumah seolah-olah mewakili suara pemaju hartanah. Ia adalah idea yang membawa kepada hutang.”

Beliau berkata, kebanyakan orang di Jerman misalnya, tinggal di rumah yang disewa.

Katanya, kerajaan sepatutnya mengambil langkah menggalakkan celik kewangan dalam kalangan rakyat.

Awal tahun ini, Putrajaya melancarkan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) dalam usaha menggalakkan rakyat membeli rumah dan mengurangkan bilangan rumah tidak terjual.
Kempen tersebut pada mulanya dirancang untuk tempoh 6 bulan, tetapi dipanjangkan kepada 1 tahun, seperti diumumkan awal bulan ini.

Baru-baru ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin memaklumkan bahawa peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) yang disenaraikan dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) akan dibenarkan untuk membeli rumah pertama mereka.

Katanya, prospek untuk memiliki rumah sendiri akan menggalakkan mereka mengurus kewangan bagi membayar kedua-dua hutang rumah dan pendidikan.

Foo memberi contoh seorang pelanggan beliau yang mempunyai pendapatan rumah tangga sebanyak RM10,000 dan membeli rumah berharga hampir RM1 juta.

Beliau berkata, hampir separuh daripada pendapatan pelanggannya itu digunakan untuk membayar balik pinjaman bank.

“Bila anda terpaksa menggunakan sebahagian besar pendapatan untuk membayar hutang, maka tidak banyak yang berbaki,” katanya.

“Susulan itu anda akan terpaksa menggunakan kad kredit untuk kegunaan lain.

“Ramai yang percaya mereka boleh membayar hutang kad kredit kerana mempunyai gaji yang sedemikian banyak, tetapi apabila mereka hilang pekerjaan, mereka akan sedari kesilapan yang dibuat.”

Katanya, pengguna harus membezakan antara keperluan dengan kemahuan.

Ahli ekonomi, Camelo Ferito berkata, teori Zuraida bahawa prospek untuk memiliki rumah akan menggalakkan individu yang gagal membayar hutang pendidikan mengurus kewangan dengan lebih baik adalah pandangan simplistik mengenai satu fenomena yang kompleks.

“Kita jangan lupa keadaan semasa bahawa PTPTN sukar mendapatkan semula pinjaman yang diberikan kerana wujud pemikiran bahawa hutang tidak perlu dibayar balik,” katanya, dengan menambah bahawa beliau tidak yakin individu dengan pemikiran sedemikian boleh dibantu dengan menggalakkan mereka berhutang lebih banyak.

Seorang ahli ekonomi lain, Mohd Nazari Ismail berkata, orang ramai harus digalakkkan supaya hidup mengikut kemampuan.

“Jika mereka tidak mampu membayar secara tunai, maka itu bererti mereka tidak mampu memilikinya,” kata beliau.

“Hutang hendaklah menjadi pilihan terakhir dalam keadaan yang sangat terdesak, misalnya jika tidak ada makanan di rumah.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.