
Bercakap kepada FMT, Zamri menuduh jurucakap Indira Gandhi Action Team (Ingat), Arun Doraisamy membuat dakwaan kabur, dengan berkata, beliau secara tidak adil mengaitkan Zakir dengan kes polis itu tanpa mengemukakan maklumat terperinci.
“Zakir ada berjuta-juta pengikut,” katanya. “Jika anda buat dakwaan begitu, anda membuat tanggapan negatif terhadap semua mereka.”
Bekas suami Indira, Muhammad Riduan Abdullah dikehendaki polis kerana melarikan anak perempuan mereka berdua, Prasana Diksa.
Zamri berkata, beliau dan ramai penyokong Zakir tidak menyokong tindakan Riduan.
“Jika seorang bukan Muslim memeluk agama Islam, perhubungan dengan ibu mereka tidak berubah. Dia masih ibu mereka,” katanya.
“Justeru saya tidak boleh menerima perbuatan memisahkan seorang anak daripada ibunya.
“Saya faham Riduan mahukan anak perempuannya itu mengikut jalan kebenaran, tetapi cara ini salah.”
Zamri berkata, Riduan sepatutnya merundingkan perkara itu dengan Indira dan mengajar anak perempuannya itu tentang Islam walapun dia mungkin kekal beragama Hindu.
“Dia mungkin boleh belajar mengenai kedua-dua agama dan setelah dewasa, membuat pilihan sendiri.
“Jika kita percaya Islam adalah jalan yang benar, kita tidak perlu bimbang. Kita hanya perlu mengajar anak kita dan mereka boleh mencari jalan sendiri.”
Beliau berkata, ia adalah masalah keluarga yang boleh diatasi melalui dialog antara Indira dengan Riduan.
Ingat membuat dakwaan itu pada satu sidang media semalam. Ia berkata, Riduan dilindungi bukan sahaja oleh penyokong Zakir, tetapi juga oleh pertubuhan bukan kerajaan yang mesra PAS dan golongan pemisah di selatan Thailand.
Indira melalui perjuangan panjang di mahkamah bagi mendapatkan hak penjagaan ke atas anaknya, selain membantah pemelukan agama sepihak kepada Islam yang dilakukan oleh Riduan.
Prasana berusia 1 tahun pada 2009 sewaktu Riduan mengambilnya daripada jagaan Indira.
Tahun lepas, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan yang memihak kepada Indira.
Ia berkata, kedua-dua ibu bapa mesti bersetuju tentang pemelukan Islam anak mereka, menyanggahi keputusan mahkamah sebelum ini bahawa salah seorang ibu atau bapa boleh membuat keputusan ke atas agama anak.
Mahkamah itu juga mengarahkan polis supaya mengesan lokasi Riduan serta Prasana dan mengembalikan anak itu kepada Indira.
Semalam Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata, beliau kini sedang meneliti kes Prasana.