Persatuan mohon timbang semula buka tender bekal baja kepada swasta

Persatuan mohon timbang semula buka tender bekal baja kepada swasta

Pemberian tender membekalkan baja padi bersubsidi kepada pihak swasta menjejaskan operasi perniagaan Pertubuhan Peladang Kebangsaan, kata pengerusi.

Phahrolrazi Mohd Zawawi. (Gambar Facebook)
BANDAR PERMAISURI:
Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) memohon kerajaan pertimbangkan kembali pembukaan tender untuk membekalkan baja padi bersubsidi bagi 2020 kepada pihak swasta.

Pengerusi Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata, sebelum ini tender membekalkan baja bersubsidi diberikan oleh kerajaan kepada Nafas melalui rundingan harga, namun apabila berlakunya perubahan kerajaan pembukaan tender mula dibuka kepada pihak lain.

Beliau berkata sekiranya tender itu diberikan kepada pihak lain ia bukan sahaja menjejaskan sebahagian besar operasi perniagaan Nafas, malahan turut memberi kesan kepada 900,000 petani dan peladang yang menjadi pemegang saham di pertubuhan itu.

“Sebanyak 96% perniagaan teras Nafas bergantung kepada baja, dan sekiranya tender itu diberi kepada pihak lain, Nafas tidak dapat menjalankan apa-apa operasi dan mengambil masa yang lama untuk memulakan perniagaan yang lain,” katanya kepada pemberita hari ini.

Katanya, kerajaan mengeluarkan surat tawaran tender bermula Rabu lepas hingga 29 Ogos ini bagi pembekalan baja padi bersubsidi.

Phahrolrazi berkata pada Jun tahun lepas Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani membuka tender kepada pihak lain yang mana ketika itu pengurusan Nafas digantung oleh Lembaga Pertubuhan Peladang selama 6 bulan.

“Selepas pengurusan Nafas diambil alih oleh ahli jemaah Nafas yang baru pada Januari lepas, kita membuat rayuan kepada pihak kerajaan dan kerajaan bersetuju memberikan kontrak membekalkan baja bersubsidi 2019 secara berfasa kepada kita,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.