
“Migrasi biasa boleh menjadi sangat mahal dan kerenah birokrasinya sangat membebankan, kata Andrian Pereira dari Inisiatif Utara-Selatan dalam satu temu bual dengan FMT.
Katanya, beliau diberitahu bahawa ini adalah antara sebab kenapa sesetengah pendatang asing yang mahu bekerja di Malaysia memilih untuk menggunakan khidmat penyeludup.
Beliau berkata, dalam kes yang melibatkan pendatang dengan tahap celik huruf yang rendah, penyeludup akan mengeksploitasi kejahilan mereka mengenai prosedur imigresen.
Pendatang tanpa pendidikan ini sangat terdedah kepada eksploitasi penyeludup, katanya.
“Banyak pengambil kesempatan memperdaya mereka untuk mempercayai bahawa mereka memasuki Malaysia dengan menggunakan saluran yang betul, sedangkan mereka sebenarnya diseludup ke negara ini.
Pereira berkata, dalam kes tertentu penyeludup akan membawa masuk pendatang yang gagal mendapatkan visa kerja kerana mereka termasuk dalam senarai hitam imigresen.
Baru-baru ini, seorang pegawai Thailand berkata, beliau menjangka angka penyeludupan manusia menyeberangi sempadan akan mencecah rekod tertinggi tahun ini berikutan permintaan besar terhadap tenaga buruh murah di Malaysia.
Pertubuhan hak asasi manusia Tenaganita berkata, kelemahan pentadbiran adalah salah satu sebab kenapa angka insiden penyeludupan manusia ke Malaysia meningkat.
Pengarah eksekutifnya Glorence Das berkata, mekanisme pemantauan tidak wujud bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang, polisi dan prosedur berjalan dengan berkesan.
Pereira bersetuju. “Kami juga mendengar cerita daripada pendatang bagaimana amalan rasuah membantu para penyeludup,” katanya.