Komuniti Bajau Laut diberi syarahan tentang bahaya bom ikan

Komuniti Bajau Laut diberi syarahan tentang bahaya bom ikan

Pada 5 Julai, 2 penyelam dari China, Zhao Zhong dan Xu Yingjie, dan seorang jurulatih selaman tempatan, Ab Zainal Abdu, maut terkena bom ikan berhampiran Pulau Kalapuan di Semporna.

Polis marin Lahad Datu menyampaikan syarahan tentang bahaya bom ikan dan racun kepada komuniti Bajau Laut.
KOTA KINABALU:
Berikutan insiden bom ikan yang membawa maut di Semporna awal bulan ini, polis marin mengambil langkah mendekati komuniti Bajau Laut di daerah Lahad Datu bagi mendidik mereka supaya tidak menggunakan kaedah menangkap ikan yang bertentangan dengan undang-undang.

Komander Polis Marin Wilayah 4 Sabah Mohamad Ali Pajeri berkata, kira-kira 40 orang Bajau Laut atau Palauh dari Tanah Timbus Tamaco menghadiri program kepolisan komuniti semalam.

Syarahan itu diadakan di pangkalan polis marin Lahad Datu.

Orang Palauh merupakan komuniti pelaut nomad, yang kebanyakannya tidak mempunyai kewarganegaraan. Mereka umumnya tinggal di dalam bot di tengah laut.

“Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan komuniti Palauh supaya tidak terlibat dengan kegiatan mengebom ikan atau menggunakan racun dan lembing.

“Ia juga bertujuan menasihati komuniti itu supaya menghindari kegiatan jenatah lain seperti dadah dan penculikan bagi mendapatkan tebusan,” katanya pada acara itu.

Kira-kira 40 orang Bajau Laut atau Palauh yang menghadiri program kepolisan komuniti di Lahad Datu.

Ali berkata, polis marin berharap program berkenaan dapat menjadikan keadaan di laut lebih selamat, selain meminta komuniti Palauh memaklumkan kepada polis mengenai kegiatan haram yang berlaku di laut.

Dua penyelam dari China, Zhao Zhong dan Xu Yingjie, kedua-duanya 26, dan seorang jurulatih selaman tempatan, Ab Zainal Abdu, 30, maut terkena bom ikan berhampiran Pulau Kalapuan di Semporna pada 5 Julai lepas.

Polis menahan seorang pemandu bot berusia 24 tahun dan pembantunya, 23, berikutan kejadian itu.

Polis juga menahan 10 individu lain, termasuk orang Bajau Laut bagi membantu siasatan.

Dalam perkembangan lain, pada 18 Jun, sekumpulan Bajau Laut diculik oleh 10 lelaki bersenjata dipercayai berkait dengan kumpulan militan Abu Sayyaf berhampiran Lahad Datu.

Polis berkata, insiden itu berlaku jauh dari pantai, berhampiran sempadan antarabangsa di luar pesisir Felda Sahabat. Menurut mereka lagi, kumpulan itu yang berusia antara 17 hingga 60 tahun bukan rakyat Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.