
Xavier Jayakumar berkata, terdapat 5 trilion meter padu air bawah tanah ketika ini dan berpotensi menjadi sumber baru air negara.
Katanya, kajian dan penelitian itu sudah pun dimulakan pada beberapa bulan lalu. Kini, kementeriannya sedang mengenal pasti perkara itu secara holistik dan menentukan kawasan air bawah tanah mana paling sesuai digunakan.
“Kita juga mahu mengkaji bagaimana kita mahu memanfaatkan sumber air tersebut,” katanya dalam satu sidang media selepas merasmikan Konvensyen Air Antarabangsa Malaysia di Loji Kumbahan dan Rawatan Air Lembah Pantai 2.
FMT dimaklumkan oleh seorang pegawai kementerian itu bahawa kajian untuk mengenal pasti kawasan lain yang mempunyai sumber air bawah tanah untuk dimasukkan sebagai data baru.

“Ini kerana angka 5 trilion meter padu air itu adalah berdasarkan sumber air beberapa tahun lalu.
“Jadi, kami sedang memetakan semula kawasan lain. Bila berjaya kumpulkan (data-data tersebut), mungkin angkanya meningkat,” kata pegawai tersebut.
Mengulas lanjut, Xavier berkata, kaijan dan penelitian yang sedang dijalankan dijangka mengambil masa selama lebih kurang satu tahun untuk diselesaikan.
Apabila ditanya mengenai perkembangan terkini siasatan terhadap 4 loji air di Sungai Selangor yang dicemari diesel akibat sabotaj, Xavier berkata, perkara itu diserahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan lajut.
“Undang-undang dah ada. Kita akan pastikan penggunaan maksimum (undang-undang tersebut) ke atas mereka (yang terlibat),” katanya.
Terdahulu, Xavier dalam satu kenyataan berkata, siasatan polis mengesahkan wujud unsur sabotaj dalam pencemaran diesel di Sungai Selangor yang menyebabkankan 4 loji rawatan airnya ditutup.
Susulan itu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) membuat laporan pagi tadi dan menggesa polis menyiasat jika wujud unsur sabotaj dalam pencemaran bau dan diesel di 4 LRA itu sejak Jumaat lalu.