Henti kongsi karikatur hina nabi di media sosial, gesa Jakim

Henti kongsi karikatur hina nabi di media sosial, gesa Jakim

Ia susulan 11 laporan polis berhubung karikatur menghina nabi yang dimuat naik seorang individu menggunakan nama Wendy Loong dalam akaun Facebook 'Kiub Batu Itu Berhala'.

Jakim berkata, usaha mengesan pemilik akaun Facebook ‘Kiub Batu Itu Berhala’ akan diteruskan dengan kerjasama agensi berkaitan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) meminta orang ramai tidak berkongsi karikatur menghina Nabi Muhammad di media sosial, walaupun akaun Facebook pelaku sudah dipadamkan.

Ia merujuk karikatur menghina nabi yang dimuat naik seorang individu menggunakan nama Wendy Loong dalam akaun Facebook “Kiub Batu Itu Berhala”.

“Unit Pemantauan Isu Hina Islam sejak kelmarin menerima mesej aduan dalam jumlah yang sangat tinggi melalui WhatsApp mengenai cakupan skrin penghinaan terhadap Nabi Muhammad oleh akaun Facebook bernama Wendy Loong.

“Melalui semakan dan carian di Facebook oleh unit tersebut, akaun berkenaan tidak dijumpai. Sama ada akaun tersebut telah ditutup atau dinyah aktif oleh pihak Facebook,” kata Jakim dalam kenyataan hari ini.

Jakim berkata, akaun Facebook “Kiub Batu Itu Berhala” sudah ditukar kepada status tertutup yang khusus untuk ahli kumpulan saja.

Bagaimanapun, katanya, usaha mengesan pemilik akaun berkenaan tetap diteruskan dengan kerjasama agensi berkaitan.

“Dalam tidak sedar, kita telah menjadi penyebar penghinaan nabi walaupun akaun Facebook tersebut telah dinyahaktif.

“Jakim menyeru rakyat Malaysia menjaga keharmonian antara agama dan kaum di negara ini selaras inisiatif kerajaan menjadikan Malaysia sebagai negara rahmah.”

Semalam, polis dilaporkan menerima 11 laporan daripada NGO dan individu berhubung dakwaan menghina nabi menerusi akaun Facebook Wendy Loong yang meminta tindakan tegas diambil terhadap pemilik itu untuk menjaga ketenteraman awam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Che Zaimani Che Awang dilaporkan berkata, akaun itu gagal dikesan dan dipercayai sudah dipadamkan, tetapi polis akan terus mengesan pemiliknya.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.