
Majistret, Norhidayati Mohammad Nasroh membenarkan permohonan perintah reman yang dikemukakan polis ke atas Johari Aleuj, Pam Yeek dan Shukri Man.
Turut hadir di Mahkamah Majistret Gerik hari ini ialah Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka), Shariffa Sabrina Syed Akil dan sekumpulan Orang Asli untuk memberi sokongan kepada 3 individu yang ditahan polis semalam.
Pam Yeek ialah plaintif dalam saman sivil yang difailkan Orang Asli dari Kampung Cunex di Gerik terhadap kerajaan Perak dan beberapa agensi kerajaan negeri untuk mengiktiraf tanah diduduki mereka sebagai tanah adat serta menghalang pembalakan di kawasan terbabit.
Semalam, Peka membidas penahanan 3 Orang Asli Temiar itu oleh polis yang merobohkan satu sekatan didirikan di Kampung Sungai Papan bagi menghalang kemasukan pembalak.
Pihak berkuasa turut merampas 5 motosikal dan sebuah kamera milik Orang Asli Temiar.
Semalam, peguam dilantik Peka, S Thiyagu dilaporkan berkata, seorang daripada 3 Orang Asli itu disiasat di bawah Seksyen 341 Kanun Keseksaan, manakala baki 2 lagi disiasat mengikut Peraturan 25(1)(n) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana tidak membawa kad pengenalan.
Thiyagu ketika dihubungi FMT hari ini berkata, majistret hanya membenarkan reman 2 hari berbanding permohonan reman 4 hari.
Katanya, polis tidak patut memfailkan permohonan reman kerana siasatan hanya membabitkan kesalahan kecil yang membawa hukuman penjara maksimum sebulan dan denda RM1,000.
“Orang Asli ini mereka boleh beri kerjasama yang sangat baik, mereka boleh hadir ke balai untuk diambil keterangan bagi melengkapkan siasatan, tidak perlu sampai kena reman, kasihanlah mereka, mereka ada keluarga.”
Katanya, beliau sedang berusaha mendapatkan harta milik Orang Asli yang dirampas pihak berkuasa semalam.
“Pihak kami cuba mendapatkan balik barang dan 4 motosikal yang dirampas semalam.
“Jabatan Perhutanan Perak kata mereka perlu mengeluarkan notis tuntutan terlebih dahulu sebelum barang boleh dikembalikan.”
Sabtu lalu, 3 lagi Orang Asli Temiar ditahan apabila polis dan pembalak merobohkan satu sekatan di Kampung Sungai Papan, Gerik.
Mereka dibebaskan selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy mengeluarkan satu kenyataan menggesa polis tidak memihak kepada pembalak.
Orang Asli Temiar mendakwa pembalak melanggar hak tanah adat mereka, tetapi kerajaan negeri bertegas ia berhak mengeluarkan permit pembalakan di Gerik.