Tapir lari masuk rumah orang ditangkap pihak berkuasa

Tapir lari masuk rumah orang ditangkap pihak berkuasa

Tapir yang sesat itu dari hutan berhampiran Taman Lavender Height, Seremban.

(Gambar Facebook)
SEREMBAN:
Seekor tapir berjaya ditangkap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selepas dilaporkan sesat daripada hutan berhampiran dan memasuki rumah seorang penduduk di Taman Lavender Height.

Pegawai APM Seremban, Md Fadir Md Nor berkata kejadian tersebut disedari penduduk setempat kira-kira pada 12 tengah hari tadi yang membuat panggilan kepada APM setengah jam kemudian.

“Seramai lapan anggota dihantar ke lokasi itu dan pada awalnya tapir berkenaan berada di atas jalan raya namun selepas pihak kami yang turut dibantu penduduk di situ cuba menghalau tapir tersebut, ia telah lari ke dalam sebuah rumah.

“Kita terus menutup pagar rumah berkenaan bagi memastikan ia tidak lari ke tempat lain. Setelah itu, kita meletakkan sangkar di tepi rumah dan terus menghalaunya ke belakang rumah. Kami berjaya mengurung haiwan berkenaan setelah ia masuk ke perangkap tersebut,” katanya kepada Bernama hari ini.

Fadir berkata Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dihubungi untuk tindakan selanjutnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.