Saya tak pertahan Azmin dalam isu video seks gay, kata Dr M

Saya tak pertahan Azmin dalam isu video seks gay, kata Dr M

Perdana menteri berkata, beliau tidak akan terjerat dalam perangkap politik kotor yang didalangi pihak tertentu yang cuba mempergunakannya untuk mencapai matlamat mereka.

Dr Mahathir Mohamad berucap dalam Majlis Pelancaran Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023 di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia hari ini.
KUALA LUMPUR:
Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak mempertahankan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali yang menjadi sasaran dalam isu video seks sejenis.

Perdana menteri berkata, beliau tidak akan terjerat dalam perangkap politik kotor didalangi pihak tertentu yang cuba memperalatkannya untuk mencapai matlamat mereka.

“Ini (skandal video seks sejenis) dirancang dan saya dijadikan ejen untuk menjayakan rancangan itu.

“Saya tidak mempertahankannya (Azmin). Saya hanya kata politik kotor sebegini tidak akan menjerat saya,” katanya selepas melancarkan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023 di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia hari ini.

Terdahulu, Mahathir melalui catatan di blognya hari ini berkata, video seks sejenis yang menyasarkan Azmin bermotifkan politik dan bertujuan memberi tekanan kepadanya untuk memecat timbalan presiden PKR itu.

Pengerusi Pakatan Harapan itu dilaporkan berkata, beliau tidak akan membenarkan dirinya dipergunakan untuk menyingkirkan Azmin.

Pada 18 Julai lalu, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata, siasatan polis mendapati wujud “pakatan jahat didalangi seorang pemimpin sebuah parti politik” bertujuan mengaib dan menjatuhkan reputasi individu tertentu

Katanya, analisis CyberSecurity Malaysia mengesahkan video seks sejenis itu adalah tulen, tetapi ia tidak dapat mengecam individu yang dikatakan mirip seorang menteri itu.

Hari ini, Mahathir berkata, klip video seks sejenis yang tersebar sejak bulan lalu itu sengaja dihasilkan untuk menjatuhkan seseorang.

Katanya, mereka yang membikin dan menyebarkan video seks sejenis itu perlu dihukum kerana “ini bukan jenis politik yang kita mahukan”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.